Budaya

Kita orang rembat je.. Oleh Asi Dani

Cerpen

KELIHATAN lima hingga enam kanak-kanak lelaki berumur antara 13 dan 15 tahun sedang memanjat tangga untuk menggantung poster. Suasana malam itu tidak cukup gelap, cahaya lampu jalan pula melimpah hingga boleh menampakan susuk tubuh budak lelaki berkenaan.

Aku hanya memerhatikan daripada atas motosikal yang diletak di bahu jalan, daripada jauh itu aku masih dapat kenal seorang daripada budak itu adalah anak jiran yang tinggal berhampiran rumah aku.

Terdengar hilai tawa kanak-kanak yang cukup gembira memasang bendera dan poster. Masih sempat main kejar mengejar, ada yang menarik tali pengikat poster, seolah itu barang permainannya.

Gantung bendera

Beberapa ketika kemudian, berhenti sebuah trak pikap berwarna kuning, trak itu penuh dengan bendera parti merah putih dan biru tua. Ada stiker tampal dan bendera. Tiga lelaki ada di dalamnya.

Budak yang sibuk menggantung bendera tadi mula mengerumuni trak itu dengan wajah tersenyum gembira. Dari belakang trak itu seorang lelaki mengedarkan lagi bendera, poster dan tali, mungkin juga dawai pengikat. Dan kemudian pemuda di atas trak itu menghulurkan bungkusan makanan dan minuman. Suasana tiba-tiba jadi meriah.

Aku terus asyik memerhatikan pesta ini. Sungguhpun pilihan raya entah bila akan diadakan, tetapi kerja di bawah sudah mula bergerak aktif. Walaupun ada ketika cuaca lembap, kadangkala bertukar panas membahang.

Kenderaan pada malam itu terus sibuk ke sana ke mari. Mereka tidak menghiraukan kumpulan budak-budak itu. Masing-masing sudah sedia maklum barangkali.

Selepas mengedar bekalan poster dan makanan, trak pikap itu bergerak meninggalkan kumpulan budak-budak itu. Menderu laju trak itu bergerak. Dalam asyik memerhatikan kelakuan budak-budak itu, tiba-tiba dua tiga orang daripada mereka menjerit keriuhan. Gembira sangat apabila dua tiga orang ini mendapati ada duit dalam plastik yang mengandungi bungkusan makanan itu.

Aku tidak pasti berapa banyak, tetapi nyata sekali selepas itu budak-budak lain cepat-cepat membuka bungkusan plastik masing-masing dengan gelojoh. Memang duit yang mereka dapat, gembira sangat budak-budak itu.

Makan dan upah

Sedang budak-budak ini makan, aku mendekati mereka. Seorang daripadanya memang aku kenal.

“Arip…” tegur aku ketika menongkat motosikal di tepi bahu jalan.

“Oh.. Abang Asi, jemput makan” arip menyahut dalam silau cahaya kereta menembak ke mukanya.

“Makanlah, abang kau mana? tak ikut sekali tampal poster?” soal aku sambil mencangkung di tepi kumpulan budak-budak yang sedang menikmati makan malam itu.

“Abang tak ikut, dia dok ikut Pak Jan memancing” jawab Arip sambil terus lahap dengan nasi bungkusnya.

“Lauk apa tu Rip?, macam sedap sangat aje” usik aku padanya. Aku beralih mencangkung ke tengah sedikit, rasanya terlalu hampir dengan bahu jalan, takut pula dilibas mat rempit malam-malam buta begini.

“Nasi lauk daging salai, ada sayur kangkung,” pendek jawapan Arip.

“Berapa upah kau orang dapat tampal poster ni?” aku menyoal sambil memandang muka rakannya yang lain.

“Tiga puluh je bang,” seorang daripadanya menjawab.
“Eh aku dapat lima puluh apa,” seorang lagi pula menyampuk.

“Eh, mana satu ni? masing-masing tak sama ke?” soal aku kembali.

“Tak sama Bang Asi, yang tiga puluh ni sebab baru satu malam ikut kita orang, yang dapat lima puluh ni macam kita la, kita ikut dah lebih lima malam,” jelas Arip dengan mambahasakan dirinya ‘kita’.

“Wah, kalau satu malam boleh kutip lima puluh, seminggu dah banyak tu, seronok la kau orang.” Aku mengusik mereka

“Boleh la, Arip nak kumpul beli ipad,” kataya sambil diiringi ketawa teman-temannya yang lain.
“Gunalah Rip, tu duit kau tu.,” pendek jawapan aku sambil berdiri nak maju ke motosikal yang ditongkat di bahu jalan.

Kelihatan yang lain juga ada yang sudah makan, mula bangun sambil menjilat-jilat jari semuanya. Budak-budak ini tentunya lapar sangat.

Apa yang salah?

“Bang Asi nak pergi mana?” tiba-tiba Arip menyoal aku.
“Apasal? kau nak ajak aku tampal poster jugak?” soal aku.

“ Kejap-kejap,” sambungnya sambil mencuci tanganya dengan air mineral.

“Bang, salah ke kita orang tampal poster BN ni?” bersaja mukanya bertanya pada aku.

Terfikir pula aku, bagaimana budak berumur tiga-empat belas tahun boleh bertanya soalan begini.

“Siapa cakap salah?” aku menyoalnya kembali.
“Abang dengan Pak Jan kata, jangan buat, tak elok kata dia orang” pendek jawab Arip sambil dua-tiga orang rakannya mula menghampiri aku.

“Laa, kenapa pula salah. Dah tu… yang betulnya apa pula?” soal aku lagi.

“Pak Jan cakap, baik tampal poster PAS ke PKR atau DAP, kalau tampal untuk BN ni serupa macam kita sokong dia orang” jelas seorang lagi rakan Arip, cukup petah budak mentah itu bercakap, kagum juga aku.

“Kalau kau orang nak tampal poster apa pun tak salah, kau dapat upah pun tak salah, yang salah tu kalau kau mencuri.” Aku cuba menjelaskan secara adil, harapnya budak-budak ini akan faham.

Naif

Aku mahu elakkan untuk mencampuradukkan hal fahaman politik dengan kerja menampal poster di musim cuti sekolah ini, apatah lagi kumpulan budak ini sekadar isi masa dan nak cari duit poket sendiri, apa kaitan pula dengan sokong parti, fikir aku.

“Tu la bang Asi, kita orang pun fikir juga, memang kita orang tak kenal pun BN ni, tapi dia orang bagi upah tolong tampal poster kita orang rembat je la. Kalau PAS ke apa-apa ke nak upah, kita orang pun turun je” jelas Arip sambil tersengih. Temannya yang lain turut mengangguk sama.

“ Kita orang ni tak tau nak sokong mana, kita orang rasa kita orang mesti sokong parti yang nak upah kita orang tampal poster, tu kita semua sokong seribu peratus!” Ujar Arip dengan nada suara yang kuat sambil disambut hilai tawa rakan-rakannya yang lain.

“Wei wei..kalau PAS suruh gantung bendera, kita buat la, tak ada upah tak apa sebab PAS ni memang miskin, tak macam BN” seorang lagi menyampuk dengan disambut hilai tawa yang lain.

Aku turut ketawa dengan perangai budak-budak ini. Nyata sekali, budak-budak belia remaja begini hanya tahu mengenai keseronokan dan keperluannya saja. Inilah realiti di bawah, anak-anak ini tidak bersalah sebaliknya hanya itulah pengertian hidupnya.-Roketkini.com