Rencana

Pasca muktamar PAS, ikatannya kian kuat Oleh Izmil Amri

‘Alf-mabruk’ kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang baru selesai mengadakan  ‘muktamar-pilihan raya’nya hujung minggu lalu. Bergegarlah ‘arasy’ di PWTC memikirkan bagaimana pula untuk memutuskan tali-tali yang mengikat ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat yang kian kejap simpulannya pasca muktamar PAS yang lalu.

Penyudahnya muka depan lidah rasmi pemerintah hari ini sekadar melaporkan kecaman Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Mursyidul Aam PAS terhadap UMNO, yang hanya akan membuat orang ramai berfikir tentang betapa jahatnya UMNO ini sampai dilabel sebegitu rupa.

Antara lain yang mencuri tumpuan dan membuat kita terketar kepala lutut seketika adalah suara-suara daripada PAS yang ingin melihat Presidennya menjadi Perdana Menteri. Saya kira ini adil bagi PAS, yang sekarang pun memegang kerusi majoriti di sebelah kiri dewan. Tidak perlu tunggu pilihanraya pun sebenarnya, PAS boleh saja menuntut jawatan Ketua Pembangkang; tetapi ia tidak buat begitu.

Demikian kesatuan fikrah pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang sudah masak dengan selok belok politik. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak melatah, malah sekadar ketawa dan menyatakan kesediaan untuk berkhidmat jika diperlukan. Sekadar sudi untuk menjadi khadam rakyat, katanya. ‘Cita-cita saya ialah mahu lihat Islam menang, lepas itu kalau saya mati pun tak apa’.

Begitulah lunaknya jawapan seorang ahli agama yang punya profesyen rasmi sebagai seorang nelayan. Tidak ia berkehendak terhadap jawatan, sekadar menyatakan kesediaan sekiranya amanah itu diberi.

Barangkali itulah kesanggupan PAS untuk berkorban, mengalihkan serangan terhadap bakal Perdana Menteri ke-7, Anwar Ibrahim yang sering menjadi sasaran juak-juak UMNO yang tidak punya sasaran lain, dengan modal yang tidak berubah juga. Kesediaan Tuan Guru Haji Hadi untuk menanggung beban itu seharusnya dipuji setinggi mungkin. Tidak ada manusia yang waras akalnya akan rela menanggung beban sebesar itu.

Ramai juga yang menyertai muktamar di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK) itu yang mengatakan mereka terpesona dengan ucapan Haji Hadi, yang pastinya nanti akan cuba ditiru seboleh mungkin oleh Presiden United Malays National Organisation dengan sebutan Arab dan makhraj yang gagal. Di kala Palestin menjadi bualan utama, pastilah semuanya mahu kelihatan Arab dan Islamik.

Ucapan Presiden PAS disebut sebagai memiliki roh yang luar biasa, seakan khutbah di masjid berbanding nada beliau yang selalunya seakan menadah kitab lama dan membuat berat kelopak mata. Namun kali ini berbeza sekali, lantas membangkitkan semangat segenap lapis ahli dan pengikut PAS yang mengikuti ucapan itu. Saya sendiri meremang bulu roma.

Maka PAS sudah siap. Datanglah raksasa apa pun berkempen untuk UMNO pada pilihan raya akan datang, PAS sekadar jentik hidungnya sahaja.

Persamaan asas

Berbalik kepada ucapan dasar Presiden PAS, tidak dapat dinafikan betapa rapatnya idea yang mendasari ucapan itu dengan prinsip demokrasi sosial yang dianjurkan DAP.

Perenggan 61 ucapan dasar itu menyebut, “[…] keperluan umum hendaklah dikawal oleh kerajaan supaya tidak ada kalangan yang mengambil kesempatan bagi diri mereka dan kroni daripada perkara yang menjadi kepentingan umum. Maka keperluan umum sudah tentu berubah mengikut peredaran zaman, sehingga dipanjang dalam perkara-perkara yang lain seperti pendidikan, kesihatan dan segala kemudahan awam yang lain.”

Demikian syarahnya terhadap hadith yang menyebut bahawa manusia itu bersyarikat dalam tiga perkara; air, api dan padang ragut. Lantas memperlihatkan betapa rapatnya nilai yang dikongsi antara kedua parti yang dahulunya kelihatan bagai langit dengan bumi. Konsep kawalan kerajaan terhadap keperluan umum adalah pokok pangkal kepada asas sosialisme yang menolak monopoli kaum pemodal terhadap hak rakyat jelata.

Ini jelas bertentangan dengan budaya politik UMNO di mana kepentingan kroni dipelihara dan diternak bagai lembu dalam kandang. Biarlah rakyat menderita, janji fulus tidak terencat alirannya ke poket kroni.

Kebijakan yang manusiawi adalah asas utama dalam muafakat Pakatan Rakyat; lantas merunsingkan pihak yang tidak mementingkan kebajikan umum tetapi sekadar peduli kepentingan pihak tertentu yang secara tidak langsung menyuap rezeki ke tembolok mereka dan suku sakat terdekat.

Doa

Kezaliman yang dilakukan UMNO mewajarkan doa yang memohonkan kehancuran. Ini normal sebenarnya. Tambahan pula kepada rakyat Kelantan yang sekian lama dizalimi dengan penafian hak royalti minyak hanya kerana ditadbir PAS. Tidak hairan kalau rakyat yang dizalimi puluhan tahun itu berdoa dengan titis air mata mengharapkan kehancuran puak yang menzalimi.

Lagikan kita ini yang cermin kereta kena pecah pun doa supaya tangan pelaku hancur dimakan ulat, inikan pula sebuah negeri yang melihat kezaliman pemerintah dari kalangan UMNO dan Barisan Nasional.

United Malays National Organisation selayaknya didoakan supaya hancur berkecai, sambil didoakan supaya menerima hidayah supaya lembut dan murni hatinya untuk menolak budaya keji memakan rasuah, memfitnah dan berperilaku samseng seolah-olah negara ini milik mereka sahaja. Marilah kita mendoakan UMNO supaya kembali ke pangkal jalan dan meninggalkan kelazimannya merompak harta negara demi memperkaya suku sakat dan sahabat handai.

Bulan hadapan, Parti Tindakan Demokratik pula akan berkongres di Pulau Pinang. Bukan setakat berhimpun untuk membakar semangat menuju pilihan raya umum akan datang, DAP bakal berdepan pemilihan parti. Musuh tidak akan senang duduk dengan paluan gendang perang dari Utara pula, setelah mengelejat menyaksikan rapat umum di Kelantan, dan sebelumnya di Seremban yang terang-terang memberi isyarat perubahan tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Namun yang pasti, mesyuarat agung parti yang kita nanti-nantikan pastilah Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Kita tunggu apa pula jenaka yang bakal dipersembahkan. – Roketkini.com