Berita

Lim Kit Siang Turut Kutuk Keganasan Israel di Gaza

KUALA LUMPUR, 21 NOVEMBER: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyokong penuh usul DAP dan Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat yang mengecam keras serangan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza.

Beliau juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan itu dan menempatkan pasukan pengaman menguatkuasakan gencatan senjata.

“Tindakan Israel itu dianggap amat kejam dan tidak berperikemanusiaan yang melakukan serangan udara secara bertubi-tubi ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Dan yang lebih jahat, serangan terbaru bertumpu k kawasan padat penduduk. Antara mangsa yang terkorban termasuk kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah,” ujarnya.

Angka kematian dilaporkan sdemakin meningkat, dengan 109 nyawa terkorban termasuk pemimpin Hamas Ahmed Al-Jabari, sementara 840 yang lain cedera, termasuk 225 kanak-kanak.

Ketua Parlimen DAP itu juga dukacita kerana rakyat Palestin selama ini ditindas rejim Israel di tanah air sendiri dan yang teruknya dianaktirikan oleh kuasa-kuasa besar yang masih tidak menghormati kedaulatan wilayah itu.

Kini, mereka sekali lagi menjadi mangsa dasar luar negeri Israel serta tindakan zalim Pasukan Pertahanan Israel (Israeli Defense Force) atau IDF yang tidak teragak-agak mensasarkan serangan ke atas orang awam.

“Sikap rakus kepimpinan rejim Israel yang suka menggunakan taktik kekerasan dan keganasan ke atas rakyat Palestin harus dikutuk sekeras-kerasnya. Tambahan Israel mempunyai kelebihan ketenteraan yang jauh lebih dahsyat. Oleh itu, sebarang tindakan ganas Israel secara lazimnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan yang keterlaluan, yang jelas kelihatan dalam serangan yang sedang berlaku.

“Jika keganasan rejim Israel itu tidak dibendung, pasti perang akan berlaku. Malah, mengikut laporan berita, tentera Israel sudah bersedia dan dihantar ke sempadan Gaza.

“DAP dan Pakatan Rakyat menyokong dalam semangat setia kawan bersama rakyat Palestin. Kami juga menyokong jalan penyelesaian multilateral malalui PBB.

“Kami amat kecewa dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang membela rejim Israel dengan mengatakan Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan roket daripada militan Palestin. Bagaimana pula hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri daripada penindasan sistematik dan keganasan tajaan rejim Israel yang membawa kematian dan kerosakan skala besar,” katanya.

Dakwaan Presiden Obama berkata, bahawa “violence is not the answer”, atau “keganasan itu bukan penyelesaian” bermakna serangan udara rejim Israel itu bukan keganasan dan tidak berpendirian membantu menyelesaikan masalah rakyat Palestin.

Sehubungan itu beliau menggesa Wisma Putra membuat bantahan diplomatik dan menyampaikan pesanan tegas kepada pihak berkuasa seperti PBB dan Amerika Syarikat.

Katanya, PBB juga hendaklah membuat ketetapan melalui Majlis Keselamatan mengutuk keganasan yang sedang berlaku serta segera menghentikan keganasan rejim Israel, selain itu Amerika Syarikat harus lebih bertanggungjawab dan memberi tekanan yang kuat kepada rejim Israel.

“Sekiranya komuniti antarabangsa hanya membiarkan keganasan dan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin, maka kita semua akan berkongsi dosa. Kekejaman rejim Israel adalah amat terkutuk dan wajib dihentikan dengan serta merta,” ujarnya.- Roketkini.com