Berita

Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mantapkan perkhidmatan untuk rakyat

SHAH ALAM 22 NOV:  Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) di Selangor perlu dilaksanakan segera kerana kerajaan negeri sudah membelanjakan sejumlah wang bagi menjalankan kajian pelaksanaannya di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh pada sidang Dewan Negeri Selangor, semalam., berkata, Pulau Pinang sudah dalam proses melaksanakan Pilihan Raya PBT pada Januari tahun depan.

“Adalah amat wajar jika kerajaan negeri yang kaya dan maju tidak menangguhkan perkara itu kerana penduduk setempat mempunyai hak untuk memilih ahli majlis mereka,” katanya.

Beliau berkata, Pilihan Raya PBT ini akan memastikan ‘the best person is picked – orang terbaik dipilih’ untuk memberi khidmat kepada masyarakat setempat melalui PBT.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri dinasihat tidak menangguh pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan,” ujarnya

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli sebelum 1964. Jawatan penting yang akan dipilih seperti Datuk Bandar, Yang di Pertua Majlis dan ahli majlis.

Melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, demokrasi dapat dipulihkan kerana rakyat dapat memantau urusan yang membabitkan mereka.

Persaingan sesama ahli majlis lebih baik dan masing-masing akan berlumba-lumba meningkatkan prestasi. Kerajaan Persekutuan tidaklah terlalu berkuasa berbanding kerajaan negeri seperti mana hari ini.

Sehingga kini, 101 daripada 192 negara di dunia mengamalkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.-Roketkini.com