Berita

“Belajar daripada kesilapan lalu, selesai segera pembahagian kerusi…”- Jimmy Wong Sze Phin

KOTA KINABALU, 26 NOVEMBER: Berdasarkan sambutan hangat rakyat terhadap majlis anjuran PR negeri, rakyat Sabah dilihat semakin faham dan sudah bersedia menumbangkan kerajaan BN negeri itu yang banyak terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam satu majlis makan malam anjuran PR Sabah di sini, Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin dalam ucapannya menimbulkan persoalan samada akan wujud senario satu lawan satu di Sabah?

Ini kerana rakyat di negeri itu cuma mempunyai dua pilihan yang akan menentukan masa depan rakyat dan negeri.

“Pakatan Rakyat Sabah sedang dan dalam proses pembahagian kerusi dan kita perlu membuat keputusan memilih untuk kepentingan semua,

“Kegagalan dalam pembahagian kerusi ini akan menyukarkan kemenangan PR di Sabah. Keputusan yang dilakukan pada saat akhir biasanya tidak akan menyebelahi pihak kita. Kita harus belajar daripada PRU ke-12 lalu,” katanya.

DAP sudah bersedia

Beliau yang popular dengan jolokan Tiger Wong kerana kelantangan beliau menyuarakan hak rakyat, berkata DAP Sabah sudah hampir 100 peratus bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Komitmen PR yang ditonjolkan dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2013 adalah satu-satunya dasar yang mampu memberi manfaat secara holistik untuk semua golongan,” katanya.

Jelas beliau, Pakatan Rakyat menuntut 20 peratus hasil royalti minyak diberi kepada Sabah kerana percaya ia mampu menjadikan negeri itu lebih maju dan ekonomi berkembang baik.

“Biarpun rizab negeri Sabah antara yang tertinggi di Malaysia, ke mana wang itu dibelanjakan?

“Negara kita sampai di persimpanan  jalan, empat atau lima bulan lagi rakyat akan membuat keputusan penting ke mana hala tuju negara kita. Ini kalilah, rakyat Sabah mesti bangkit!.

“Jadi, yang mana satu pilihan anda? madu atau racun?” soal beliau.-Roketkini.com