Berita

Kedudukan CPI Malaysia masih teruk – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 DISEMBER: Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia di tempat ke-54 daripada 176 negara dianggap masih teruk berbanding pada kedudukan ke-43 daripada 179 negara pada 2007.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, berdasarkan CPI terbaru dikeluarkan Transparency International (TI)  membuktikan kedudukan ke-54 daripada 176 negara itu masih teruk berbanding kedudukan ke-33 daripada 102 negara pada 2002.

Katanya, ini membuktikan masih banyak kelemahan dalam tiga teras utama NKRA membanteras rasuah walaupun kedudukan CPI Malaysia tahun ini meningkat daripada tempat ke-54 daripada 176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara pada 2011.

Beliau berkata, Malaysia mungkin boleh berasa sedikit selesa dengan penurunan dalam kedudukan itu belum boleh dibanggakan dan dianggap masih teruk kerana negara pernah menduduki tempat ke-43 daripada 179 negara pada 2007 dan ke-33 daripada 102 negara pada 2002.

Kedudukan CPI Malaysia, mata dan jumlah negara di dalam sampel, 2001 hingga 2012

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Malaysia tidak seharusnya berasa sangat selesa kerana hakikatnya peningkatan Malaysia itu kerana berjaya mengatasi kerajaan yang ‘terkenal’ dan ‘bersih’ seperti Jordan, Namibia, Oman, Kuwait dan Arab Saudi.

“Banyak negara dengan GDP per kapita yang lebih rendah daripada Malaysia mampu memperoleh kedudukan CPI yang lebih baik termasuk Rwanda (50), Bhutan (33) dan Botswana (30), begitu juga negara ekonomi perindustrian baru (NIE) di Asia seperti Korea Selatan (45), Taiwan (37), Hong Kong (14) dan Singapura (5),” katanya

Menurut beliau, lebih membimbangkan kerana tiga teras utama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) – iaitu, memperkasa agensi pencegahan rasuah dan perundangan, membanteras rasuah besar dan mengurangkan salah tadbir dalam proses perolehan kerajaan masih gagal dicapai.

Katanya, contohnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih seperti ‘harimau yang hilang taring’ kerana banyak bergantung kepada Peguam Negara untuk mendakwa kesnya.

“Walaupun banyak laporan polis, dakwaan dan siasatan dibuat ke atas Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, termasuk oleh Bruno Manser Fund (BMF), namun Peguam Negara menolak untuk mendakwa kedua-dua pemimpin BN terbabit.

“Dan selagi SPRM tidak bebas sepenuhnya, perundangan seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak akan memberi kesan jangka panjang pada penurunan kes rasuah.

“Lagipun, SPRM yang terbabit menyiasat kes yang dikatakan penyalahugunaan dana oleh seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang membawa kepada kematian Setiausaha Politik kepada Ean Yong Han Wah, Teoh Beng Hock sedangkan petualang sebenar masih bebas menguasai hasil negara,” katanya.

Begitu juga siasatan SPRM terhadap kes pegawai kastam, Ahmad Sarbani, juga menemui ajal akibat jatuh daripada bangunan ketika sedang ditahan.

Daripada perspektif tanggapan, terdapat keraguan bahawa SPRM belum lagi diperkasakan dengan memberi ruang melakukan tugasnya, tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Juga tiada tanda yang rasuah besar diatasi dengan berkesan oleh NKRA Membanteras Rasuah.

Hampir semua kes yang muncul pada pengkalan data umum bagi pendedahan adalah kes kecil dan membabitkan cuma ‘ikan kecil’.

Adalah tidak mengejutkan apabila ‘jerung’ terbabit terlepas daripada perhatian terutama kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz, mengetepikan cubaan menggubah wang berjumlah RM40 juta oleh Michael Chia dengan mengatakan ia ‘sumbangan politik’ kepada UMNO Sabah dan mengabaikan bukti bahawa Michael Chia yang sama dengan baik hatinya ‘meminjamkan’ sebuah hummer bernilai hampir setengah juta kepada anak menteri terbabit.

Malah pendakwaan terhadap jerung dalam skandal RM12.6 bilion PKFZ – iaitu bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik dan Chan Kong Koy – belum diselesaikan dengan sebaiknya membuatkan kita tertanya apakah kes ini akan mengikut jejak langkah kes seorang Menteri UMNO yang berasal dari Sabah, Kasitah Gaddam dan bekas Pengerusi Perwaja, Eric Chia, yang mana kedua-duanya didakwa atas tuduhan rasuah dengan riuh sebelum pilihan raya umum 2004 namun kedua-duanya dibebaskan.

Yang terakhir sekali, terdapatnya rasa tidak puas hati terhadap usaha mengurangkan salah tadbir dalam proses perolehan kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang ditangguhkan sehingga dua minggu dalam perbahasan belanjawan menyusahkan Ahli Parlimen untuk membangkitkan isu penting berkaitan penyeliaan dan kawalan pada proses perolehan kerajaan yang lemah.

Lagipun, tiada tindakan diambil SPRM atau Peguam Negara dalam mendakwa mereka yang bertanggungjawab tidak menguruskan perolehan kerajaan dengan baik (termasuk binokular RM56,350 untuk Jabatan Taman Laut Malaysia tetapi nilai sebenar cuma RM1,940).

Tambahan, menurut Kit Siang, kerajaan terus beroperasi dengan penuh kerahsiaan dalam urusan tanah yang mungkin dapat mengumpul keuntungan berbilion ringgit buat kerajaan tetapi sebaliknya dijual di bawah harga pasaran kepada agensi kerajaan iaitu 1MDB.

Terbaru, peniaga permaidani, Deepak Jaikishan mendakwa bukan sahaja Ketua Wanita UMNO Selangor Raja Ropiaah Raja Abdullah, juga Perdana Menteri Najib Razak sendiri berkenaan tanah bernilai RM100 juta untuk kontrak membina PUSAT Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), satu dakwaan yang masih belum dijawab.

Dengan pelbagai kesilapan besar dan kelemahan di dalam usaha dan inisiatif membanteras rasuah, Malaysia tidak boleh berasa selesa walau sedikit dengan kemajuan di dalam kedudukan CPI negara.

Apa yang sepatutnya membuatkan rakyat Malaysia tenang adalah hakikat bahawa pemimpin Pakatan Rakyat akan terus mendedahkan korupsi dan salah guna kuasa di bawah kerajaan BN sekarang yang tidak menampakkan sebarang tanda tabiat lama mereka akan berubah.

Apa yang sepatutnya membuatkan rakyat Malaysia tenang adalah hakikat bahawa negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat terutamanya Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan bagaimana pengurusan sumber kerajaan yang telus dan bertanggungjawab boleh meningkatkan lebihan dan rizab tetapi pada masa yang sama dapat dirasa manfaatnya oleh rakyat.

“Apa yang sepatutnya membuatkan rakyat Malaysia tenang adalah hakikat peluang untuk mengundi keluar kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang bakal tiba tidak lama lagi.

“Hanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat masalah rasuah di dalam negara yang diperintah rejim BN yang korup dan muflis ini dapat dibasmi dan tanggapan terhadap Malaysia yang semakin berkurangan korupsinya dapat menjadi realiti,” katanya. – Roketkini.com