Berita

“BN gelabah kaji royalti minyak Sabah yang dinafi lebih 30 tahun lalu”- Dr Hiew King Cheu

KOTA KINABALU, 7 DISEMBER: Penafian hak rakyat Sabah untuk menikmati 20 peratus royalti minyak oleh kerajaan BN sejak lebih 30 tahun lalu adalah antara sebab negeri itu menghadapi masalah ekonomi, kemiskinan, kurangnya pembangunan dan infrastruktur yang baik.

Justeru, desakan PR menuntut kenaikan royalti kepada 20 peratus bertujuan mengembalikan hak rakyat Sabah yang dinafikan selama ini bagi menjana keberlangsungan pembangunan dan memulihkan sosio ekonomi negeri yang selama ini tidak dipedulikan BN.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu berkata, sejak lima tahun mulai 2008 hingga 2012, Sabah cuma menerima sekitar RM4 juta, Sarawak sebanyak RM10.4 juta manakala Terengganu RM11.6 juta.

“Apa yang diterima Sabah itu amat sedikit berbanding negeri lain,

“Sebab itu PR mendesak agar 20 peratus royalti petroleum diberi kepada Sabah. Jika ia dilaksanakan, ini akan meningkatkan pendapatan kerajaan negeri daripada sekitar RM941 juta pada 2012 kepada RM4,000 juta sekiranya PR mengambil alih pusat.” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Jawatkuasa DAP Pusat membangkitkan persoalan terhadap kredibiliti kerajaan BN kerana baru sekarang mereka mahu mengkaji tuntutan 20 peratus royalti itu.

“BN semacam mengelabah. Mungkin PRU sudah hampir, jadi mereka (kerajaan negeri) cuma mahu menunjukkan mereka juga prihatin tetapi apa yang mereka buat sejak dahulu?

“Adakah mereka jujur atau sekadar mahu memancing undi?  Kita nak lihat mereka laksanakan dan bukan sekadar “cakap-cakap kosong” saja. Selama ini pun mereka selalu janji tapi mana pergi janji mereka?” soalnya.

Sambil mengingatkan bahawa “bola” kini berada di tangan pengundi Sabah, King Cheu berkata,  rakyat Sabah harus membuat keputusan yang betul dan bijak.

“Saya percaya anda semua sudah pasti mempunyai pilihan siapa yang akan diundi dalam PRU akan datang ini. Pakatan Rakyat harus diberi peluang untuk membentuk Kerajaan Persekutuan,

“Sekiranya negeri PR seperti Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan sudah buktikan mereka mampu mentadbir dengan cemerlang, kenapa tidak Sabah dan Malaysia!” katanya.-Roketkini.com