Berita

Pulau Pinang batal jual tanah Taman Manggis kepada BN – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 7 DISEMBER: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang membatalkan tawaran penjualan tanah seluas 1.1 ekar di Taman Manggis dengan harga RM22.4 juta kepada Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow kerana gagal mematuhi empat syarat utama.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco negeri, semalam kerana Teng dan BN Pulau Pinang tidak ikhlas untuk membina PPR atau rumah kos rendah untuk sewa.

“Kenyataan Teng itu bercanggah dengan Khoo Boo San yang mendakwa bukan membina PPR tetapi akan membina rumah mampu milik berharga RM400,000 seunit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mereka juga gagal memasukkan Teng dan pemimpin BN sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat pemaju BN iaitu Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd walaupun Teng bersetuju bahawa BN Pulau Pinang yang akan membeli tanah itu.

“Pembatalan juga kerana gagal menyemak semula modal berbayar untuk syarikat pemaju perumahan kepada nilai yang ditentukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu tiga peratus Nilai Pembangunan Kasar (GDV).

“Selain itu, Teng dan BN Pulau Pinang juga gagal membayar baki 99 peratus atau RM22.18 juta pada 5 Disember 2012, walaupun tempoh sudah dilanjutkan sebulan.

Guan Eng dalam kenyataan medianya juga berkata, keengganan BN untuk membayar penuh harga tanah di Taman Manggis sebanyak RM22.40 juta walaupun mendakwa sudah menyediakan baki wang berkenaan.

“Ini membuatkan kejujuran dan komitmen Teng dan BN Pulau Pinang membeli tanah untuk membina rumah kos rendah untuk disewa (PPR) dipertikaikan.

“Komitmen Teng diragui apabila, Pengarah Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd, Khoo Boo Soon mengumumkan pada 29 November lalu bahawa tanah Taman Manggis akan diguna untuk membina rumahn mampu milik yang berharga RM400,000 seunit dan bukannya membina PPR,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiusaha Agung DAP berkata, sebelum ini, Teng pernah marah dan enggan bekerjasama dengan UMNO Pulau Pinang kerana mengoyakkan gambar Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon tetapi kini beliau bekerjasama dengan UMNO Pulau Pinang walaupun UMNO tidak meminta maaf.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh menjual tanah itu kepada BN Pulau Pinang apabila tiada jaminan kuat dan komitmen jelas bahawa pengarah Taman Manggis tidak akan mungkir janji untuk membina PPR.

“Pendirian Teng yang tidak jelas ditambah keengganan kepimpinan BN untuk menjadi pengarah dalam syarikat Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd.

“Teng juga menulis surat pada 3 Oktober lalu bahawa BN negeri menerima tawaran kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjual tanah pada harga RM450 sekaki persegi untuk pembinaan PPR. Teng juga sudah membayar satu peratus wang cengkeram sebanyak RM224,074 bagi pihak BN Pulau Pinang.

“Pada 4 Oktober lalu, saya menjawab bahawa baki 99 peratus atau RM22,183,227 harus dibayar BN Pulau Pinang dalam masa 30 hari dan kemudian dilanjutkan kepada 5 Disember 2012,” katanya.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri juga membuat keputusan itu selaras dengan ketetapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mensyaratkan keluasan untuk projek perumahan awam sekurang-kurangnya dua ekar.

Katanya, atas alas an itu juga kerajaan negeri memilih tanah seluas 11 ekar di Jalan SP Chelliah untuk pembinaan perumahan awam dan tanah Taman Manggis dipilih untuk hospital swasta dan dijual melalui tender terbuka dengan harga RM232 sekaki persegi, lebih tinggi daripada unjuran penilaian kerajaan Persekutuan iaitu RM212 sekaki persegi.

“Walaupun BN mendakwa tanah itu disimpan kerajaan negeri BN pada 2003 untuk pembinaan PPR, tiada sebarang pengumuman awam yang dibuat dalam surat khabar antara 2003 dan 2008. Kenapa BN ketika berkuasa tidak mencari wang untuk membina PPR dalam tempoh berkenaan, tetapi boleh mencari RM22,40 juta apabila menjadi pembangkang.

“Alasan Teng dan BN Pulau Pinang bahawa mereka tidak membayar penuh kerana tanah itu sudah dijual kepada KLIDC serta tiada perjanjian jual-beli adalah tidak masuk akal kerana geran hak milik belum dikeluarkan.

“Bagaimana boleh kita memberi perjanjian jual-beli tanpa geran hak milik tanah dan selagi geran hak milik tanah tidak dikeluarkan, kerajaan negeri mempunyai hak menjual tanah itu kepada sesiapa sahaja. Penjualan tanah kepada BN ini tidak melalui tender terbuka tetapi secara pemindahan hak milik tanah,” ujarnya.

Beliau berkata, situasinya sama apabila Penang Port Commission membayar premium RM15 juta untuk tanah Swettenham Pier. Dalam kes itu, tiada perjanjian jual-beli, sebaliknya ia dipindah milik seperti tanah Taman Manggis.

Katanya, dan kerana geran hak milik tanah tidak dikeluarkan, kerajaan negeri boleh membayar balik premium itu kepada Penang Port Sdn Bhd dan terus memegang hak milik tanah.

KLIDC menerima status ini dan penjualan tanah Taman Manggis kepada BN Pulau Pinang, tertakluk kepada pembayaran balik premium serta kos mereka.- Roketkini.com