Berita

Cabar SPRM ikut langkah KPK Indonesia perangi rasuah – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER: Ahli politik Pakatan Rakyat (PR) tidak menembak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada belakang sebaliknya daripada depan mengenai kegagalan dan ketidakcekapan badan itu memerangi rasuah di Negara ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata tiada sebab bagi pemimpin politik PR menyembunyikan kritikan mereka, sebaliknya membenarkan SPRM mempertahankan diri.

Beliau berkata, hanya ahli politik UMNO/Barisan Nasional mempunyai sumber, cara malah motivasi untuk menembak SPRM daripada belakang untuk memastikan SPRM supaya lebih menurut perintah pemimpin politik kerajaan yang memerintah.

Katanya, selepas empat tahun SPRM dinaikkan taraf daripada Biro Pencegahan Rasuah (BPR) dengan penambahan kuasa, dana dan kakitangan, rakyat masih belum yakin bahawa SPRM adalah “tentera untuk memerangi rasuah”.

“SPRM masih bertanggungjawab terhadap kematian Setiausaha Politik DAP, Teoh Beng Hock dan pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad di premis mereka,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Menurutnya, hanya perubahan kerajaan di Putrajaya pada PRU-13 diikuti penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dapat menyiasat sedalam-dalamnya misteri kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini itu.

Penubuhan SPRM sejak Januari 2009 menyebabkan masalah rasuah semakin meruncing hingga menjunamnya kedudukan dan mata Malaysia ke tempat terendah sepanjang empat tahun laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sejak 1995.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamad dalam kenyataan akhbarnya meminta ahli politik tidak “menembak SPRM daripada belakang” kerana itu akan menyukar untuk memerangi rasuah.

Sehubungan itu, Kit Siang mencadangkan SPRM mengikut jejak Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia memperkenalkan pengubah-mainan dalam pencegahan rasuah supaya pemimpin politik dan penjawat awam mengisytiharkan kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan gaji rasmi mereka.

Beliau juga meminta Abu Kassim dan SPRM menjelaskan mengapa pencapaian Malaysia begitu buruk dalam CPI TI sepanjang empat tahun sejak SPRM ditubuhkan pada 2009 berbanding 14 tahun daripada 1995 hingga 2008 di bawah dua bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kit Siang juga mempertikaikan mengapa SPRM gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk meningkatkan mata CPI TI Malaysia kepada 4.9 (yang akan meletakkan negara pada kedudukan ke-48 bukannya ke-56.

“SPRM juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti menjadi alat kepada penguasa, sebaliknya menjadi lebih cekap dan bebas dalam memerangi rasuah, terutamanya “rasuah besar” membabitkan pemimpin tertinggi politik dan kerajaan pada tahun akan datang atau perlu menunggu sehingga adanya perubahan kerajaan di Putrajaya.

“Walaupun Malaysia mengatakan lebih baik daripada Indonesia dalam hal berkaitan rasuah, Indonesia kelihatan lebih banyak menunjukkan kemajuan menakjubkan dalam memerangi rasuah sepanjang dua dekad lalu.

“Pada 1995, Indonesia berada di paras terendah CPI TI pada kedudukan ke-41 dengan mata 1.94 dan naik pada kedudukan ke-100 daripada 183 negara i dalam CPI TI 2011 dengan mata 3.0.

“Sebaliknya Malaysia menunjukkan kemerosotan dalam kedudukan dan mata sejak 1995 (kedudukan 23 dan mata 5.28), jatuh ke tangga 60 dengan mata 4.3 dalam CPI TI 2011. Sedangkan Indonesia pada kedudukan ke-118 daripada 176 negara dengan mata 32 daripada 100 dalam CPI TI 2012, berbanding kedudukan Malaysia di tempat ke-54 dengan 49 mata,” katanya.-Roketkini.com