Berita

Selangor kekal pelaburan tertinggi, bukti tadbir PR cemerlang

SHAH ALAM, 14 DISEMBER: Biarpun kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sering dituduh gagal mentadbir negeri kerana tidak berpengalaman, Negeri Selangor terbukti berjaya mengekalkan momentum pelaburan yang cemerlang mendahului negeri lain di Malaysia berdasarkan nilai pelaburan diterima.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata tuduhan melulu sesetengah pihak terhadap kemampuan kerajaan negeri mentadbir ekonomi sama sekali meleset.

“Pencapaian itu membuktikan amalan tadbir urus yang baik kerajaan PR Selangor meyakinkan pelabur untuk melabur sekaligus menunjukkan pelabur tempatan yakin dan percaya dengan kepimpinan PR di negeri ini,” katanya.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Siputeh berkata, jumlah pelaburan yang dicapai Selangor kini adalah sebanyak RM7.684 bilion daripada 186 projek perkilangan yang diluluskan.

“Pelaburan di Selangor sahaja mencatatkan 24 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai pelaburan di Malaysia.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, RM5.470 bilion  atau 71 peratus adalah pelaburan tempatan bernilai RM2.214 bilion atau mewakili 29 peratus daripada pelaburan asing.” jelasnya.

Merujuk kepada statistik terkini MIDA,Teresa berkata, dengan 186 projek di Selangor, ia mewakili 32 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh negara.

“Sebanyak 112 projek adalah projek baru dengan nilai pelaburan RM4.743 bilion manakala 74 projek adalah projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan RM2.941 bilion,” tambahnya

Beliau berkata, selepas Selangor ialah Johor di tempat kedua dengan 128 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 81 projek.

Selangor jadi lubuk peluang pekerjaan

Menurut Pengerusi DAP Selangor itu lagi, dengan iklim pelaburan negeri yang cemerlang ia mewujudkan 16,076 potensi peluang pekerjaan di Selangor.

Beliau berkata, sebanyak 9,648 peluang pekerjaan adalah daripada projek baru dan 6,428 adalah daripada projek pembesaran dan pelbagai.

“Ia meliputi industri pembuatan barangan peralatan kenderaan yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi iaitu RM3.289 bilion yang merangkumi 32 projek diikuti industri pembuatan makanan sebanyak RM1.002 bilion dengan 14 projek, manakala industri pembuatan barangan logam asas sebanyak RM729.898 juta dengan 12 projek,” ujarnya,

Katanya, Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dengan 71 projek, diikuti Hulu Selangor dengan lima projek dan Klang mencatatkan nilai ketiga tertinggi dengan 40 projek.-Roketkini.com