Berita

DAP hargai jasa Ahmad Ton, mahu beliau terus berjuang demi rakyat

JOHOR BAHRU, 19 DIS: Veteran DAP, Ahmad Ton, tidak pernah menyatakan bahawa kekalahan beliau dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti adalah kerana ahli-ahli DAP tidak memahami konsep “Malaysian Malaysia”.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, beliau telah berbincang dengan Ahmad tentang perkara itu dan mendapati laporan media tersebut adalah cerita rekaan Utusan Malaysia yang berniat jahat.

Katanya, Utusan telah menyiarkan berita muka depan pada Isnin 17 Disember lalu dengan sengaja menyalahtafsirkan isu kononnya Ahmad mendakwa bahawa perwakilan DAP enggan menyokongnya kerana mereka tidak memahami konsep Bangsa Malaysia.

“Saudara Ahmad Ton menafikan beliau pernah menyatakan bahawa perwakilan DAP tidak memahami konsep Malaysian Malaysia.

“Sebaliknya, Ahmad Ton rela menerima kekalahannya selepas membandingkan dirinya dengan dua orang pemimpin terkenal, iaitu bekas Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy, yang juga kalah dalam pemilihan DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Boo, DAP Johor memberi penghargaan tertinggi terhadap Ahmad yang telah bertungkus-lumus berkhidmat untuk DAP dan rakyat sepanjang 36 tahun, malah walaupun kesihatannya lemah selepas mengalami strok baru-baru ini.

“Sejak saya mengenalinya, beliau adalah seorang yang mudah berpuas hati walaupun saya hanya melayannya dengan roti kosong dan teh-O. Beliau diberi sanjungan tinggi kerana merupakan seorang pemimpin politik tekun yang boleh dipelajari oleh pemimpin dan ahli DAP yang muda walaupun latar belakangnya miskin.

“Utusan Malaysia telah menyebar perasaan benci yang bersifat rasis terhadap DAP dengan tuduhan yang tidak berasas. Ini adalah kelakuan yang berbisa dan Utusan Malaysia yang seharusnya berasa malu terhadap perangainya,” ujarnya.

Beliau berkata, Ahmad juga berjanji akan terus memainkan peranannya sebagai Naib  Pengerusi DAP Johor dengan membantu DAP dan Pakatan Rakyat Johor membuat kejutan di kubu kuat UMNO-Barisan Nasional di Johor.

Menurutnya lagi, DAP Johor bangga kerana mempunyai pemimpin seperti Ahmad yang bersifat tekun dan tidak mementingkan diri sendiri.

“Kami berharap beliau dapat memainkan peranan sebagai Naib Pengerusi DAP dan terus menyumbangkan tenaganya terhadap demokrasi Malaysia walaupun kesihatan kian merosot,” tambah beliau. – Roketkini.com