Berita

Hina bekas presiden Indonesia: PM perlu segera minta maaf

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Datuk Seri Najib Razak diseru meminta maaf kepada Indonesia atas penghinaan seorang bekas menteri Malaysia yang menggelar mantan presiden republik itu sebagai “pengkhianat bangsa” dan “anjing imperialisme”.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaaan DAP, Zairil Khir Johari berkata bahawa untuk mengelak tercetusnya krisis diplomatik, Perdana Menteri harus segera meminta maaf atas kesilapan Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas menteri penerangan Malaysia, yang menghina bekas Presiden B.J. Habibie, dengan bahasa yang sangat kasar dan tidak sopan.

“Kejumudan minda Tan Sri Zainuddin dan keengganan beliau serta Utusan Malaysia untuk meminta maaf kepada Indonesia, sehingga menerima teguran yang memalukan daripada Presiden Indonesia, akan pasti meregangkan hubungan dua hala antara negara kita dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Malaysia semakin menjadi bahan lawak antarabangsa apabila sebuah rencana oleh  Zainuddin yang disiarkan di Utusan Malaysia telah ditegur oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sebagai “tidak wajar dan tidak beretika” serta boleh menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

Ekoran lawatan Habibie ke Malaysia atas jemputan Penang Institute dan Unisel Selangor, Zainuddin telah menulis sebuah rencana yang antara lainnya melabelkan Habibie sebagai “gunting dalam lipatan” terhadap Presiden Suharto (yang ditolak oleh rakyat Indonesia pada 1998) dan sebagai seorang pemimpin yang telah “mengkhianati bangsa dan negaranya”.

Dalam tulisannya, Zainuddin secara kurang cerdik mendakwa bahawa: “Beliau (Habibie) disingkirkan setelah menjadi Presiden Indonesia hanya selama 1 tahun lima bulan kerana bersetuju dengan desakan Barat supaya mengadakan pungutan suara ke atas penduduk Timor Timur dalam Wilayah Indonesia menyebabkan Timor Timur terkeluar daripada Negara Kesatuan Republik Indonesia pada 30 Ogos 1999.”

Zairil menjelaskan bahawa Zainuddin sebagai bekas anggota Kabinet Malaysia telah menyifatkan Habibie sebagai pengkhianat semata-mata kerana kerana telah memberi hak kepada rakyat Timor-Leste untuk memilih kerajaan sendiri setelah dijajah selama berdekad-dekad oleh kerajaan pusat Indonesia.

“Tan Sri Zainuddin juga menyatakan bahawa dasar pendemokrasian Pak Habibie telah mengakibatkan porak-peranda politik dan perpecahan rakyat Indonesia kepada 48 parti politik yang berlainan. Adakah Tan Sri Zainuddin bermaksud bahawa rakyat Indonesia tidak sepatutnya mempunyai kebebasan untuk berpersatuan?” soal beliau.
Menurutnya, penghinaan Zainuddin terhadap Habibie harus dikecam dengan kuat kerana hingga kini tiada permintaan maaf daripada mantan menteri mahupun Utusan Malaysia.

“Ini menunjukkan sikap UMNO yang sanggup memperlekehkan seorang pemimpin negara jiran demi motif politik, seolah-olah bangsa Indonesia itu rendah kedudukan mereka di mata para pemimpin UMNO,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, dakwaan Zainuddin itu jelas menyerlahkan sikap bodoh sombong yang langsung tidak mengendahkan hakikat bahawa Habibie merupakan watak penting dalam proses peralihan Indonesia.

Walaupun tidak lama di tampuk kuasa, reformasi-reformasi yang telah dilaksanakannya telah sedikit sebanyak menzahirkan demokrasi dan desentralisasi setelah berpuluh tahun di bawah kerangka autokratik Suharto, menjadikan Habibie seorang negarawan yang disanjungi ramai rakyat Indonesia, tambah beliau. – Roketkini.com