Berita

BN berjaya rampas kuasa rakyat tapi gagal pecah-belahkan Pakatan Rakyat-Howard Lee

GEORGE TOWN, 20 DIS: Biarpun Barisan Nasional (BN) berjaya merampas mandat rakyat Negeri Perak dengan cara yang tidak demokratik dan zalim pada 2009, mereka masih gagal memecahbelahkan hubungan baik dan kerjasama erat Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Wakil Pemuda DAPSY, Howard Lee Chuan How berkata, ia terbukti apabila buat pertama kali dalam sejarah, PR Perak berjaya melancarkan Belanjawan negeri 2013 pada 15 Disember lalu.

“Pucuk pimpinan PR Perak menghasilkan bukan saja satu belanjawan alternatif, tetapi belanjawan seimbang yang tidak pernah difikirkan UMNO-BN selama ini.” katanya ketika perbahasan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16, Ahad lalu.

Menurut Howard, Belanjawan 2013 PR Perak yang bertemakan “Mengupayakan, Memperkayakan dan Memperkasakan Rakyat” ini akan membabitkan rakyat negeri itu secara lebih menyeluruh.

“Dalam resolusi Perkara 2 (2), iaitu Pendemokrasian Ekonomi, ia termasuk langkah menggalakkan aktiviti pertanian berasaskan makanan daripada industri kecil dan sederhana (IKS) di mana anggaran perbelanjaannya sebanyak RM8,300,00 juta,” katanya.

Belanjawan 2013 PR Perak turut menggalak untuk menjadikan Perak negeri pengeluar produk ikan air tawar, ikan hiasan, daging itik serta udang menerusi skim yang memberi pulangan memuaskan kepada pengusaha dengan anggaran perbelanjaan RM5 juta.

Mengakhiri ucapannya, Howard berkata, PR terutamanya DAP harus bersiap-sedia kerana “Semboyan sudah pun berbunyi” untuk pilihan raya yang akan diadakan bila-bila masa.

“Mari kita terus berjuang, bertungkus-lumus, mari kita berganding bahu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, gunung sama didaki, lurah sama dituruni, biar putih tulang, jangan putih mata, mari kita bersama-sama memenangkan Pakatan Rakyat,” katanya bersemangat.-Roketkini.com