Berita

Dr Ariffin buat laporan polis dakwa difitnah TPM dan AntaraPos.com

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Dr Ariffin SM Omar hari ini membuat laporan di Balai Polis Tun H.S Lee, kerana difitnah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan AntaraPos.com berikutan laporan portal itu, 18 Disember lalu.

Katanya, berikutan laporan yang berunsur fitnah itu imej dan reputasinya cemar dan terjejas teruk.

Menurutnya, laporan bertajuk “Kenyataan Ariffin Melayu punca rasuah diselar” itu adalah fitnah semata-mata kerana beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa punca rasuah dalam perkhidmatan awam kerana dimonopoli orang Melayu.

“Dalam wawancara bersama wartawan AntaraPos.com, saya mengatakan bahawa negara kita akan aman dan stabil dengan adanya perkhidmatan awam yang terdiri daripada berbilang kaum,

“Saya juga menambah bahawa ini akan membolehkan rasuah dicegah,” katanya.

Beliau menganggap kenyataannya itu sudah diputar belit, dan sangat jelas ia merupakan satu tindakan yang sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

“Apa yang lebih teruk, ia memberi gambaran seolah-olah mengaitkan saya dengan kenyataan berbaur hasutan dan berunsur perkauman,” katanya.

Dr Ariffin yang juga Ppensyarah di Universiti Pertahanan Nasional (UPN) berkata, laporan AntaraPos.com itu dilihat untuk meraih publisiti kerana portal itu tidak mendapat sambutan ramai.

“Isu itu juga akan diguna sebagai senjata UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk memburukan imej DAP sebagai anti-Melayu,” jelasnya.

TPM terpaksa guna isu kaum

Rajiv Rishyakaran yang mewakili Pemuda DAPSY pula berkata, beliau juga kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri kerana menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan.

“Walaupun Dr Ariffin tidak menyebut sepertimana yang dilaporkan itu, beliau dikaitkan dengan satu dakwaan yang berunsur fitnah.

“Saya berharap rakyat dapat menilai apa yang sebenarnya berlaku dan menolak politik perkauman sempit.” ujarnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Senator Chandra Mohan pula berkata, perkara ini sengaja ditimbulkan lebih-lebih lagi pilihan raya umum semakin hampir.

“Dr Ariffin tak cakap pun begitu. Perkara itu diputarbelitkan, tiada isu sepatutnya ditimbulkan,” ujarnya.

Laporan AntaraPos.com 18 Disember lalu memetik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata “dakwaan naib pengerusi baru DAP, Senator Dr Ariffin SM Omar bahawa rasuah berpunca daripada monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam merupakan satu perbuatan bodoh dan sangat tidak bertanggungjawab.”

Turut mengiringi Senator Dr Ariffin ialah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Lim Ching How dan beberapa anggota DAPSY Kebangsaan . -Roketkini.com