Berita

Festival P Ramlee Pulau Pinang: Jemputan ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil

SEBERANG JAYA, 20 DIS: Semua penduduk dijemput hadir ke majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi memperingati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang akan diadakan malam ini selepas solat Maghrib di Masjid Jamek Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Majlis bacaan Yassin dan tahlil anjuran Penang Institute diadakan sempena Festival P. Ramlee Pulau Pinang mulai 11 Disember lalu dengan forum “Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P. Ramlee: Melihat Dimensi identiti Melayu yang Lain”.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Institute, Zairil Khir Johari, berkata penganjuran festival ini  bertujuan memberi manfaat kepada semua dan membantu masyarakat melihat satu lagi dimensi Melayu yang lain.

“Kita mahu mengupas dan membedah karya Seniman Agung itu daripada sudut keintelektualannya,

“Pada saya, watak Melayu di tangan P. Ramlee adalah amat menarik. Ia tidak pernah apologetik atau taksub kepada kerangka kebudayaan yang jumud sebaliknya merangkumi kebudayaan dunia yang lebih besar.” katanya ketika berucap pada pembukaan forum di USM Pulau Pinang.

Zairil yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, citra Melayu kosmopolitan dalam filem P. Ramlee mungkin berdasarkan pengalaman hidup beliau sendiri ketika membesar di Pulau Pinang.

“P. Ramlee yang berketurunan Aceh, lahir dan membesar di Pulau Pinang, kemudian bekerja dengan tauke besar filem Singapura, Shaw Brothers dan menghasilkan filem Melayu yang pertama.

“Ironinya, perwatakan Melayu yang dihasilkan P. Ramlee terbit melalui industri filem multi-etnik yang kuat dipengaruhi penerbit Cina, pengarah India serta menjiwai jalan cerita Hollywood, India serta koleksi kisah fantasi Arabian Nights.” ujar beliau.

Selain forum dan majlis tahlil, Festival P. Ramlee Pulau Pinang turut memuatkan Pesta Rakyat P. Ramlee pada 23 Disember bertempat di Dataran Muafakat, Balik Pulau dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan sukan tradisional, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, Pertandingan Tiru Gaya P. Ramlee serta banyak lagi.

Pada 28 Disember pula, satu lagi forum berjudul “Selepas P. Ramlee: Apa Jadi Warisan Melayu?” akan diadakan di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas mulai jam 8.00 hingga 10.30 malam manakala pada 7 hingga 13 Januari 2013, Pameran kehidupan P. Ramlee akan berlangsung di Ruang Legar, Aras 3 KOMTAR.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari Festival P.Ramlee Pulau Pinang -Roketkini.com