Berita

Kit Siang anggap hukuman ke atas Umar dahsyat, memeranjatkan

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan hukuman penjara satu bulan terhadap mahasiswa yang menyertai “Occupy Dataran”, Umar Mohd Azmi sebagai satu peringatan dahsyat dan memeranjatkan.

“Hukuman penjaran satu bulan dan denda maksimum RM1,000 terhadap Umar menjadi peristiwa menggemparkan Negara dan antarabangsa kerana ia merupakan peringatan dahsyat dan memeranjatkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, walaupun slogan program transformasi kerajaan, ekonomi, sosial dan politik, sistem keadilan jenayah di Malaysia selama empat tahun di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masih teruk.

Kit Siang yang kini berada di Sydney, Australia berkata, jika beliau berada di Malaysia sudah tentu akan melawat khemah protes yang didirikan aktivis mahasiswa di luar penjara Kajang untuk menzahirkan sokongan , simpati dan solidariti saya bersama Umar terhadap ketidakadilan hukuman berat yang dikenakan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, kerajaan Persekutuan di Putrajaya perlu ditukar pada PRU-13 nanti kerana negara dipenuhi dengan kes yang keadilan jenayah benar-benar teruk, termasuk kes Umar.

Khemah protes didirikan aktivis mahasiswa di luar Penjara Kajang bagi membantah hukuman penjara satu bulan selepas dikenakan denda maksimum RM1,000.

“Khemah protes itu mengingatkan saya kepada tindakan protes terhadap hukuman penjara 18 bulan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Ogos 1998 sewaktu beliau mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, mengakibatkan terbatalnya kelayakkan beliau sebagai Ahli Parlimen dan dihalang daripada bertanding selama lima tahun selepas dibebaskan dari Penjara Kajang.

“Sebagai protes, pemimpin DAP penyokong dan mereka yang bersimpati mengadakan Mogok Lapar 18 Hari Bebas Guan Eng pada September 1998 sebagai menzahirkan kekecewaan, rasa terkejut, sedih dan marah seluruh negara terhadap ketidakadilan apabila  seorang Ahli Parlimen yang jujur, tekun dan berani boleh dipenjarakan 18 bulan kerana mempertahankan maruah, hak asasi manusia dan hak asasi wanita seorang gadis bawah umur yang ditahan kerana menuntut keadilan.

“Ketika itu, Mogok Lapar 18 Hari Bebas Guan Eng mendapat sokongan, simpati dan solidariti rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Menurutnya, kegagalan yang nyata sama ada di bawah Najib atau Tun Abdullah untuk melakukan reformasi, apatah lagi transformasi, ke atas sistem keadilan jenayah selepas kebinasaan sistem kehakiman hasil tangan 22 tahun pemerintahan Mahathir, ditonjolkan di dalam kes Umar, apabila dibandingkan dengan banyaknya kes yang tidak selesai membabitkan skandal besar memperlihatkan ketidakadilan di dalam negara, sama ada pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pembunuhan Teoh Beng Hock di premis SPRM atau kematian misteri dan pembunuhan ketika di dalam tahanan seperti V. Kugan.

“Saya menyokong khemah protes di luar Penjara Kajang yang didirikan oleh aktivis mahasiswa dan sepatutnya dilawat oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan seperti ketika Mogok Lapar 18 Hari Bebas Guan Eng 14 tahun lalu di Kajang – dan terdapat kes yang kuat untuk khemah protes itu berterusan selagi mana Umar masih dipenjarakan dengan tidak adil di dalam Penjara Kajang,” tambahnya. – Roketkini.com.