Berita

Beri ruang Bumiputera Dayak Sarawak tonjol diri – Leon Jimat Donald

GEORGE TOWN, 24 DIS: Pengerusi DAP Sri Aman Leon Jimat Donald mahu masyarakat Dayak di Sarawak diberi ruang menonjol diri dan memberi sumbangan lebih meluas dalam gerak kerja parti di negeri itu.

Beliau berkata, sehingga kini masih wujud pandangan daripada kalangan masyarakat Dayak  yang melihat DAP sebagai “Parti Cina” kerana lebih banyak mmberi peluang kepada penduduk di bandar.

“Kita mesti mengubah persepsi itu dan mulai sekarang DAP mesti membina kepercayaan dan meyakinkan masyarakat Dayak bahawa DAP juga adalah parti mereka,” katanya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 baru-baru ini.

Tambahnya, ramai lagi di kalangan masyarakat Dayak secara umum tidak dapat melihat  DAP peka terhadap harapan dan keresahan mereka terutamanya bidang ekonomi, sosial, politik atau agama.

Justeru itu beliau meminta agar ahli DAP di kalangan masyarakat Dayak Sarawak turut serta dan aktif menyumbang di peringkat Jawatankuasa Negeri, Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan jawatankuasa lain.

Leon berkata, walaupun DAP sudah 30 tahun bertapak di Sarawak dan mempunyai banyak pengalaman, sejarah bersama masyarakat Dayak, ia perlu diperluaskan lagi.

“Kita mesti berhenti beranggapan bahawa kerusi masyarakat Dayak bukan kerusi berpotensi untuk DAP.

“Parti perlu menjalankan satu anjakan paradigma di mana DAP mesti bertanding di lebih banyak kerusi majoriti Dayak,” ujarnya.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, DAP perlu memberi mesej kepada masyarakat Dayak Sarawak dengan lebih menyeluruh bahawa perjuangan DAP adalah perjuangan untuk memberi peluang saksama kepada semua.

“DAP sebuah parti Nasional yang mewakili semua masyarakat, berjuang untuk semua rakyat di Malaysia tercinta ini,” ujar beliau.-Roketkini.com