Rencana

Tidak bayar royalti petroleum dianggap lebih menzalimi rakyat Kelantan – Oleh Noor Jaafar

RAMAI yang sengaja buat keliru dan kurang jelas mengenai kelulusan kawasan balak seluas 10,526 ekar di Hutan Simpan Relai, Gua Musang, oleh Kerajaan PAS Kelantan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 2000.

Sedangkan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadzli Shaari sudah menjelaskan perkara itu, begitu juga penafian yang dibuat Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Penjelasan yang macam mana lagi yang pemimpin dan penyokong UMNO-BN mahu kalau mereka masih juga tidak faham atau sengaja buat tak faham dengan penjelasan dan penafian itu.

Mungkin perangai pemimpin dan penyokong UMNO-BN suka melakukan fitnah tanpa usul periksa yang akhirnya mereka sendiri yang dapat malu sepertimana yang dilakukan Utusan Malaysia yang akhir kalah dan dikenakan denda kerana memfitnah pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Roketkini.com juga tidak faham apa maksud Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Malaysia (PAKATAN) yang turut menuduh Kerajaan PAS Kelantan mengkhianati dan mengaibkan rakyatnya dengan memberi tanah balak di Gua Musang kepada pemimpin DAP.

Kalau kerana kes itu dituduhkan menganiayai rakyat Kelantan, bermakna tindakan Kerajaan BN Persekutuan lebih zalim dan kejam apabila menafikan hak royalti petroleum rakyat Kelantan.

Rakyat Kelantan, termasuk PAKATAN yang diterajui Datuk Dr Nordin Ab Razak boleh banding sendiri antara kezaliman dan kekejaman yang dilakukan kerajaan BN dengan tindakan kerajaan PAS Kelantan yang meluluskan tanah itu kepada YIK dan diusahakan pembangunan kawasan balak itu oleh sebuah syarikat yang kebetulan baru saja dimiliki pemimpin DAP Perak.

Bukan saja rakyat Kelantan yang dizalimi BN, malah rakyat Selangor dan Pulau Pinang juga dizalimi BN kerana membolot 24 bidang tanah di negeri itu dengan harga murah RM1 sekaki persegi.

Pemimpin BN di Selangor tidak menafikan perkara itu, malah mengakuinya tanah itu diagihkan semua parti komponen BN di Selangor yang nilai semasa tanah berkenaan mencecah RM300 juta.

Kalau beginilah sikap pemimpin UMNO-BN sampai bila pun Kelantan akan kekal diterajui PAS, jangan mimpin BN mahu merampas negeri itu pada PRU-13 nanti.

Soal siapa yang memberi penjelasan mengenai perkara itu tidak timbul asalkan penjejalasan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadzli Shaari itu berfakta, bukannya tuduh dan fitnah ‘membabi buta’ seperti dilakukan pemimpin dan penyokong UMNO-BN.

Adalah dialu-alukan jika pemimpin dan juak-juak UMNO mahu melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

Semalam, Ahmad Fadzli menyatakan kawasan balak di Hutan Simpan Relai, Gua Musang, diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan kepada YIK pada 2000 dan YIK kemudian menawarkan tanah itu kepada sebuah syarikat, bagaimanapun ia gagal, menyebabkan YIK menarik balik tawarannya pada 18 Ogos 2004.

Tawaran kepada syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd (pada masa itu dipengerusikan Datuk Seri Wong Yeon Chai) dibuat YIK pada 28 Ogos 2005, manakala perjanjian ditandatangani pada 3 Mei 2006.

Ia adalah projek usaha sama melalui konsep pajakan dan perjanjian selama 50 tahun dengan diberikan ‘pajakan’ bukannya hak milik.

Pertukaran lembaga pengarah dan pegangan saham dalam syarikat Upayapadu Plantation sudah dimaklumkan kepada YIK pada Mei 2012 dan segala urusan perjanjian, pajakan dan transaksi dibuat mengikut prosedur yang sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang.

Ngeh dan Nga menafikan fitnah yang menuduh mereka mendapat tanah di Kelantan sebagai habuan kerana memberi jawatan Menteri Besar Perak kepada wakil rakyat PAS selepas pilihan raya umum 2008.

Mereka menganggap menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz meluluskan tanah itu sebagai habuan untuk DAP, sebagai parti majoriti di Perak selepas PRU 2008, kerana melantik Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, adalah satu penipuan dan fitnah berniat jahat.

Ngeh tuirut membuat laporan polis pada 19 Disember lalu supaya bertindak terhadap mereka yang memfitnah dan memburukkan beliau, Nik Aziz dan Nga.

Ngeh juga mencerita perkara sebenar iaitu pada 13 September 2000, kerajaan negeri Kelantan meluluskan satu lot tanah kepada YIK yang kemudian diserah kepada satu syarikat untuk diusahakan tetapi gagal.

Berikutan kegagalan syarikat itu membangunkan tanah berkenaan, ia kemudian diambil balik oleh YIK pada 18 Ogos 2004 dan diserahkan pula kepada Upayapadu Plantation Sdn Bhd untuk dibangunkan pada 28 Ogos 2005 di mana satu perjanjian ditandatangani pada 3 Mei 2006.

Bagaimanapun, Upayapadu Plantation juga gagal membangunkan tanah yang diberi itu dan akhirnya pemegang saham Upayapadu Plantation membuat keputusan menjual syarikat terbabit.

Ngeh berkata, beliau dan Nga tidak diberi tanah oleh kerajaan negeri Kelantan tetapi mereka dan pelabur lain membeli syarikat Upayapadu Plantation pada April 2012 secara komersil di pasaran terbuka tanpa sebarang rahsia.

Pembelian Upayapadu Plantation hanya dilakukan selepas pemegang saham asal syarikat itu membuat keputusan menjual Upayapadu Plantation kerana mereka gagal membangunkan tanah seluas 10,526 ekar di Kelantan.

Beliau yakin fitnah itu sengaja dicipta kerana UMNO-BN sudah terdesak dan takut akibat usaha beliau bersama Nga yang membongkar skandal tanah BN di Perak.

“Saya dan Nga mendedahkan dalam sidang DUN yang lalu mengenai tindakan kerajaan BN Perak meluluskan tanah yang bernilai ratusan juta ringgit kepada kroni mereka,” katanya.- Roketkini.com