Berita

DAP cabar Menteri Dalam Negeri dedah bukti kematian tahanan dalam lokap

KUALA LUMPUR, 31 DIS: DAP mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan bukti rakaman CCTV kematian K Nagarajan yang didakwa mati setelah terjatuh di dalam lokap ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Isnin lalu.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, berkata ketiadaan bukti kukuh boleh menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat umum, terutama ahli keluarga mangsa.

“Ini bukan perkara baru, kematian yang berlaku ke atas Teoh Beng Hock, Kugan dan Ahmad Sarbani Mohamad juga menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat umum mengenai apa yang sebenarnya berlaku ketika mereka ditahan,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis banyak kali dikritik dan menuntut agar kerajaan mengambil langkah tertentu supaya insiden seperti itu tidak berulang.

“Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja pernah memberi cadangan agar perubahan dilakukan. Malah kita juga menuntut agar kamera CCTV dipasang untuk memastikan semua insiden membabitkan serangan dan kematian dapat diselesaikan dengan adanya rakaman,” ujarnya.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, pada November 2012, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abu Seman Yusop memberitahu Parlimen bahawa semua balai polis kini dilengkapi dengan kamera CCTV.

Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan sejauh mana kerajaan mengambil pendekatan untuk mengurangkan insiden di balai polis selepas dakwaan seorang wanita Indonesia diperkosa ketika ditahan di Balai Polis Butterworth, Pulau Pinang.

“Kamera CCTV memainkan peranan penting untuk merakam sebarang insiden termasuk kematian yang berlaku supaya kebenaran dapat didedahkan selain dapat membantu mengurangkan kes penderaan ke atas tahanan.

“Kini sudah tiba masanya Menteri Dalam Negeri memberi bukti. Jika pihak polis tidak melakukan kesalahan, mereka boleh dibersihkan daripada sebarang dakwaan.

“Jika bukti menunjukkan sebaliknya, maka mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa,” katanya.

Keluarga tidak puas hati

Menurut bapa saudara mendiang, M Krishnamurthie, pihak keluarganya tidak boleh menerima penjelasan polis berhubung kejadian itu.

“Bagaimana seseorang boleh mati akibat terjatuh dalam lokap,” katanya pada sidang media bersama ADUN Teratai, Janice Lee, semalam.

Menurut Krishnamurthie, terdapat kesan luka di bahagian bawah mata kiri mendiang, kesan lebam di bawah kening kanan dan luka di bahagian kaki kanan Nagarajan dan pihak polis tidak memberi sebarang penjelasan berhubung kecederaan yang dialami mendiang.

Manakala Janice dalam kenyataannya memohon agar perkara disiasat segera.

“Saya tidak mahu perkara sama berlaku pada orang lain. Ini harus dihentikan,” ujar beliau. –  Roketkini.com