Rencana

Perutusan Tahun Baru 2013 DAP

Perutusan Tahun Baru 2013 DAP oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 31.12.2012

Menyampaikan Janji Kejayaan Kepada Mereka Yang Jujur, Berusaha Kuat, Melabur Dalam Masa Depan Dan Mematuhi Undang-Undang Dalam Malaysia Yang Lebih Bersih, Hijau, Selamat Dan Sihat.

2013 adalah tahun penting yang akan menentukan sama ada rakyat Malaysia berani mengubah kerajaan berusia 56 tahun yang takut dengan idea baru, sudah hilang ideal dan sudah membelakangi prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, kebenaran, demokrasi dan integriti dalam pentadbiran. Jika Malaysia ingin kembali ke jalan yang lurus dari segi ekonomi dan juga hak politik, 2013 harus menjadi tentang rakyat dan prestasi dan bukan tentang siapa yang lebih rasis dan ekstrim.

Tiga negara ASEAN yang telah mencatat prestasi di luar jangkaan menjadi peringatan kepada manfaat sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang memberi tumpuan kepada prestasi. Thailand telah jauh melebihi jangkaan khususnya dalam pelancongan dengan pertumbuhan paling tinggi sebagai destinasi pelancongan no.1 sementara pasaran sahamnya untuk tahun 2012 merupakan pasaran yang paling berprestasi di Asia dengan peningkatan 37% berbanding 2011.

Dari segi pembuatan, Philippines adalah negara tumpuan dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang melebihi 6% sementara pasaran sahamnya bagi 2012 telah naik 33% berbanding 2011, iaitu kurang sedikit dengan Thailand. Sudah tentu, Indonesia adalah bintang ASEAN, bukan sahaja kerana saiznya tetapi kerana perangkaan pertumbuhan yang mengagumkan.

Kesemua 3 negara bermanfaat daripada populasi muda yang mahir dan kerajaan yang mementingkan ekonomi daripada politik, memilih prestasi dan polisi daripada ekstremisme kaum dan agama serta pemimpin yang memperjuangkan integriti dan menghukum korupsi.

Jika rakyat Malaysia ingin mengatasi mereka yang mahu memecah belahkan kita kepada kotak-kotak kaum dan agama, kita harus ingat bahawa selain daripada sejarah kita yang pelbagai, kita juga terikat dengan sejarah Merdeka dan Perlembagaan Persekutuan sejak 1957, nilai-nilai bersama serta berjuta-juta lagi persamaan. Untuk mengurangkan jurang, membina kepercayaan dan memperluaskan sokongan untuk mengeratkan pertalian di antara semua rakyat Malaysia, dasar-dasar bukan sahaja harus sah dari segi undang-undang tetapi sah dari segi moral, politik dan umum.

Rakyat Malaysia harus memberi perhatian kepada kejayaan 3 negara tersebut dan memastikan bahawa kelakuan yang tidak baik tidak mendapat ganjaran tetapi dihukum serta menolak BN yang mengamalkan korupsi. Taktik fitnah dan ketakutan bahwa perubahan akan membawa kepada Negara Kristian atau Negara Islam tidak akan laku lagi apabila Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang paling penting adalah kesejahteraan rakyat.

Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka akan diadakan sebelum April 2013 harus berkisar pada persoalan parti manakah yang dapat menyampaikan janji kejayaan kepada mereka yang jujur, berusaha kuat, melabur dalam masa depan dan mematuhi undang-undang dalam Malaysia yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

LIM GUAN ENG