Bagi Pulau Pinang, 2013 Akan Mendatangkan Penghapusan Kemiskinan Dan Meneruskan Kejayaan Memerangi Rasuah Supaya Tidak Akan Ada Rakyat Kelas Ketiga Dari Segi Ekonomi.
Bagi Pulau Pinang, 2013 akan mendatangkan penghapusan kemiskinan dan meneruskan kejayaan memerangi rasuah supaya tidak akan ada rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi. Dalam tempoh 5 tahun yang lepas, kepimpinan PR di Pulau Pinang telah bertungkus lumus untuk mengurangkan jurang pendapatan dan memperkenalkan tadbir urus CAT yang berdasarkan prinsip cekap, akauntabaliti dan telus untuk mengumpul lebihan bajet yang paling tinggi demi melaksanakan program-program sosial, membina infrastruktur trafik serta menyediakan perumahan mampu milik.
Di bawah Agenda Ekonomi Sosial (AES), Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan setiap keluarga/isi rumah mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan. Paras garis kemiskinan adalah RM763 sebulan untuk setiap keluarga/isi rumah di Semenanjung Malaysia.
Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan akan ditambah nilai oleh kerajaan negeri setiap bulan. Dengan kata lain, sebuah keluarga dengan pendapatan bulanan RM600 akan menerima RM170 sebulan di bawah program AES PR. AES akan menelan belanja sebanyak RM20 juta setahun untuk kerajaan negeri dan majoriti penerimanya adalah orang Melayu.
Pada masa yang sama, kerja pembinaan akan bermula untuk 18,000 unit perumahan mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk di Pulau. Dalam tahun 2013 juta, pemilihan kontraktor-kontraktor melalui tender terbuka akan dibuat untuk 5 projek kerja raya yang besar, termasuk laluan ketiga terowong bawah air di antara Gurney Drive dan Bagan Ajam di Butterworth.
Usaha memerangi rasuah akan diteruskan kerana hanya kerajaan yang bersih boleh memastikan masyarakat yang berpengetahuan, adil, progresif dan makmur. Rasuah sudah pun menjadikan rakyat terbanyak di Malaysia kepada rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi. Rakyat kelas pertama adalah pemimpin BN manakala rakyat kelas kedua adalah kroni-kroni BN dan pengikut-pengikut mereka.
Malah orang Melayu sendiri sudah menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi, ekoran skandal-skandal kewangan seperti saham Bumi bernilai RM52 bilion. RM54 bilion saham telah diperuntukkan untuk rakyat Bumiputera, tetapi Bumiputera biasa di kalangan Melayu dan dari Sabah dan Sarawak tidak mendapat walau satu saham. Kini hanya RM2 bilion yang tinggal. Sampai hari ini, kerajaan BN enggan menyiasat kerugian RM52 bilion saham Bumi.
Orang Cina juga dijadikan rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi, apabila dipaksa untuk membiayai sekolah-sekolah Cina manakala Menteri-menteri MCA dan pemimpin BN lebih berminat dalam skandal RM13.85 bilion Port Klang Free Zone. Orang India pula menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi dengan kegagalan skandal MAIKA yang belum diselesaikan.
Sabah dan Sarawak pula, dua negeri yang terkaya dari segi sumber asli di Malaysia, mempunyai taraf kemiskinan yang tertinggi kerana pemimpin-pemimpin mereka lebih berminat untuk memperkaya diri sendiri dan keluarga mereka. 28 juta rakyat Malaysia sudah menjadi rakyat kelas ketiga dari segi ekonomi ekoran pendedahan wang haram RM871 bilion yang dialirkan keluar dari 2001-2010 dalam Laporan Global Financial Integriti yang disediakan oleh pemerhati kewangan yang berpusat di Washington.
Pulau Pinang telah berjaya untuk membanteras rasuah dengan memenuhi 6 langkah integriti seperti berikut:
1. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan EXCO.
2. Melaksanakan tender terbuka.
3. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan.
4. Melindungi pemberi maklumat yang tulen.
5. Menggugurkan pemimpin yang hidup mewah.
6. Berterus terang dalam sumbangan politik.
Jika integriti dimantapkan, bukan sahaja martabat insan malah martabat ekonomi akan dikembalikan kepada rakyat Pulau Pinang, di mana usaha akan dibalas dengan ganjaran dan peluang akan diberi kepada semua. Hanya dengan martabat ekonomi bolehlah Pulau Pinang membangun untuk menjadi bandaraya antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat.
Lim Guan Eng