KUALA LUMPUR, 2 JAN: Sambutan tahun baru 2013 DAP Kebangsaan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) malam tadi mendapat sambutan hangat dan gamat dengan pelancaran video muzik istimewa “Ubah Rocket Style” serta persembahan bertenaga artis jemputan.
Majlis yang dihadiri pimpinan utama DAP dan Pakatan Rakyat itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said dan isteri, Datin Rashidah Mohd Dahan dihoskan oleh Carmen Leong dari Wanita DAP dan Fahmi Fadzil dari PKR.
Menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, pelancaran video muzik “Ubah Rocket Style” yang diilhamkan dari “Gangnam Style” diharap dapat membuka lembaran baru membentuk persepsi positif di kalangan generasi muda terhadap politik.
“Ramai orang khasnya generasi muda menganggap politik adalah sesuatu yang terlalu serius. Jadi kita harap dengan “Ubah Rocket Style” dapat menarik orang ramai khasnya kalangan generasii muda yang sebelum ini tidak ambil perhatian kepada politik untuk lebih peka kepada isu semasa yang berlaku dalam negara,” jelas beliau yang juga penerbit eksekutif video muzik berkenaan.
Tambahnya, sambil berhibur, video muzik itu juga diharapkan dapat mendidik selain memberi maklumat berguna mengenai isu semasa politik Malaysia.
Video Muzik “Ubah Rocket Style” yang divariasikan dalam empat bahasa utama, Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil itu boleh dicapai melalui pautan http://www.youtube.com/watch?v=TbqxsTSDWNk.
Selain pelancaran “Ubah Rocket Style”, penampilan istimewa parodi (sindiran) “Fokus PRU-13” dengan watak “Mama” yang mecerminkan isteri pemimpin besar negara telah menarik perhatian ramai.
Dalam sketsa jenaka itu yang dihoskan oleh wartawan Roketkini, Edry Faizal Yusof, watak Mama menjadi bahan ketawa dengan digambarkan sebagai peminat membeli-belah nombor satu negara serta menentukan keputusan yang perlu dibuat oleh suaminya..
“Disebabkan kelembapan ekonomi dunia, dengan membeli-belah di luar negara, ia dapat membantu meningkatkan pendapatan negara terbabit,” jelas Mama yang mendapat tepukan dan gelak tawa hadirin.
Rata-rata hadirin yang ditemui berkata, imej dan watak Mama yang ditampilkan dalam sambutan Tahun Baru 2013 malam tadi benar-benar kelihatan ‘hidup’ dan sangat menghiburkan.
Sambutan Tahun Baru 2013 anjuran DAP Kebangsaan itu diselangi dengan cabutan bertuah dan ucapan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Ketua Pemuda DAPSY Pusat, Teo Kok Seong, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pua.
. – Roketkini.com