Berita

Sejarah sedang dilakar, Stadium Merdeka jadi saksi “kemerdekaan” rakyat

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Ratusan ribu rakyat Malaysia dari segenap lapisan golongan telah mula membanjiri Kuala Lumpur sejak awal pagi ini untuk menghadiri Himpunan kebangkitan Rakyat KL112.

Setakat jam 2 petang, Stadium Merdeka sudah hampir penuh dengan manusia yang memakai pakaian pelbagai warna sebagai lambang kumpulan-kumpulan NGO, parti politik serta individu prihatin.

Ini menandakan isyarat awal kepada Barisan Nasional menunjukkan rakyat Malaysia komited untuk melakukan perubahan pentadbiran dalam pilihan raya umum yang ke-13 akan datang selain membuktikan kerjasama utuh parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bersama dengan masyarakat madani.

Kebenaran pengurusan Stadium Merdeka dan kerjasama pihak polis (setakat jam 2 petang) juga telah membuka satu lembaran baru bagi politik matang di Malaysia atas usaha berterusan dan desakan rakyat yang menuntut agar ruang demokrasi di Malaysia dibebaskan berdasarkan semangat Perlembagaan Persekutuan.
.
Bahang kehangatan KL112 ini telah pun dapat dilihat sejak malam tadi dalam pidato Grand Finale yang berlokasi di dataran Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di sini walaupun basah dan becak.

Menarik perhatian, seramai 74 orang penceramah memberikan pidato mereka sebelum detik jam 12 malam disudahi dengan bacaan doa dan pertunjukan bunga api sebagai simbolik kepada ‘kemerdekaan’ rakyat.

Dalam ucapan serba ringkas dan padat, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata beliau menerima panggilan dari seorang teman yang mengatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat bimbang jika perhimpunan KL112 berjaya..

Manakala, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, perhimpunan kali ini merupakan satu permulaan bagi politik baru negara yang semakin matang.

“Mari kita mulakan politik Malaysia yang baru iaitu politik kasih sayang . Kita perlu tolak politik lama yang penuh dengan kejijikan adu domba, perkauman sempit dan politik yang membakar sentimen agama dalam kalangan rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Bagi Pengerusi Penganjur KL112, Mohamad Sabu, Himpunan Kebangkitan Rakyat ini adalah perhimpunan yang terakhir sebelum rakyat memberi mandat kepada kerajaan baru yang bersih dan telus dalam PRU ke-13.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan polis kerana memberikan kerjasama yang sangat baik untuk memastikan perhimpunan kali ini berjalan lancar.

Wakil dari Solidariti Mahasiswa Malaysia, Adam Adli pula berkata, perjuangan rakyat Malaysia ini adalah satu perjuangan yang memanifestasikan kasih sayang.

“Kita berjuang kerana cinta, kerana sayangkan tanah air kita. Kita berjuang untuk generasi, anak cucu kita di masa depan,” ujar beliau.

Bermula jam 12 tengah hari tadi, sekurang-kurangnya 15,000 peserta telah  bergerak dari KLCC  memasuki Jalan Sultan Ismail menuju ke Stadium Merdeka sambil melaungkan slogan “Hidup Rakyat”, tuntutan royalti dan sebagainya sepanjang perjalanan manakala puluhan ribu peserta yang berada di Masjid Negara telah pun mula bergerak dengan kawalan Unit Amal PAS.

Antara lokasi utama pergerakan peserta hari ini ialah dari Amcorp Mall, Petaling Jaya; Masjid Arrahman, Universiti Malaya; Brickfields, KLCC, Kelab Sultan Sulaiman, Pasar Seni, Jalan Sultan dan Masjid Negara. – Roketkini.com