Berita

Mati sewaktu tahanan polis, DAP desak siasatan segera

KOTA DAMANSARA, 16 JAN: Negara dikejutkan dengan kematian seorang lagi rakyat Malaysia, Chang Chin Te, 30, selepas ditahan di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya dengan dikatakan mempunyai kesan bengkak, lebam dan luka di beberapa bahagian badan.

Mendiang bekerja sebagai mekanik kereta dan meninggalkan seorang balu serta empat anak.

Menurut bapa mendiang, Chang Chan Man, 64, anaknya ditahan polis pada Khamis, 10 Januari lalu bagi membantu siasatan kes pecah rumah.

Selepas empat hari, iaitu pada 14 Januari lalu, katanya, dua anggota polis datang ke rumah mendiang untuk memaklumkan kepada isteri Chin Te, iaitu Lim Hui Nee, bahawa Chin Te sudah meninggal dunia..

“Polis memberitahu anak saya tidak sedarkan diri dan sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan dan mendapati anak saya sudah meninggal dunia.

“Bagaimanapun polis juga tidak memberi apa-apa jawapan ketika Hui Nee bertanyakan sebab kematian suaminya,” jelas beliau.

Pada sidang media tergempar di rumah waris mangsa di Kampung Baru Subang dekat sini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu berkata, kematian Chin Te tidak boleh diterima dan meminta campur tangan serius Ketua Polis Negara untuk menyiasat dan memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga.

“Setelah dimaklumkan kematian suaminya, isteri mendiang dan kakak beliau bergegas ke hospital untuk melihat mayat dan mendapati ada pendarahan di telinga, hidung dan banyak kesan bengkak di bahagian muka, luka di bahagian badan manakala bahagian dada mempunyai kesan tenggelam ke dalam berwarna gelap,” jelasnya.

Menjelaskan lanjut, Liu berkata, ketika di PPUM, isteri mendiang mengambil beberapa gambar bahagian tubuh suaminya yang terdapat kesan luka dan lebam.

“Bagaimanapun, kami diberitahu pihak polis telah memaksanya supaya memadamkan gambar yang diambil itu. Hanya satu gambar di bahagian muka yang boleh disimpan.

“Kini kami telah memaklumkan kes ini kepada beberapa peguam dan Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong merangkap Setiausaha Biro Undang-Undang DAP) sedia memberi khidmat guaman.
“Beliau mencadangkan untuk membuat bedah siasat kali kedua di Hospital Sungai Buloh,” kata Liu

Liu juga berharap pihak polis memberi kerjasama membenarkan bedah siasat kali kedua dijalankan segera.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pula berkata, ramai pihak mahu mengetahui penyebab kepada kematian mengejutkan itu walhal mendiang berada dalam keadaan sihat ketika ditahan.

“Sebab itu sidang akhbar tergempar itu mendesak untuk bedah siasat kali kedua. Saya sangat kesal dengan perkara yang berlaku, apakah ia disebabkan oleh keganasan polis?” katanya yang juga Ahli Parlimen Seputeh merangkap Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, juga khuatir dengan kematian yang berulang selepas beberapa kes tahanan mati dalam lokap polis.

“Kita mahu mangsa diberi keadilan dan jika ada pihak polis yang terbabit, mereka perlu bertanggungjawab. Yang penting sekarang adalah satu siasatan segera yang bebas terhadap kejadian itu,” kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim kesal dengan kejadian itu dan menganggap kes kematian tahanan dalam lokap polis bukan perkara baru dan tidak patut berlaku dalam zaman manusia bertamadun dan moden ini.

“Bila disiasat tidak ada siapa yang mengaku bersalah. Kita sudah buat banyak aduan mengenai hal ini tapi macam ‘tak laku’. Seolah-olah tahanan dihukum sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

“Kita tidak mahu tuduh sesiapa. Oleh kerana pihak keluarga mahu dan bersetuju untuk bedah siasat kali kedua, ini menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat pertama. Kita mahu polis siasat betul-betul,” tegasnya. – Roketkini.com