Berita

Isu “Listen”: UMNO-BN runtuh budaya intelektual, AUKU jadi alat perbodoh mahasiswa

KUALA LUMPUR, 17 JAN:Setelah 40 tahun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)  dikuatkuasakan ke atas semua institusi pengajian tinggi di Malaysia, dunia akademik yang sepatutnya merayakan perbezaan pemikiran, percambahan idea kritis dan intelektual, telah menjadi terbantut.

Setiausaha Eksekutif  Biro Pendidikan Politik DAP, Mazir Ibrahim, berpendapat insiden dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) Disember lalu yang bertukar menjadi ‘majlis serang mulut’ moderator Sharifah Zohra Jabeen terhadap seorang pelajar, KS Bawani, yang hanya bertanya soalan.

Dalam insiden itu, Sharifah Zohra telah memalukan dirinya sendiri apabila mengherdik, memandang hina serta memberi jawapan dangkal terhadap soalan dan komentar Bawani sehingga ia menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan mahasiswa negara ini.

“Beliau (Sharifah) sebagai pembimbing seharusnya memperagakan nilai intelektual dan terbuka, baik sebagai fasilitator atau pensyarah. Malangnya, sikap yang ditunjukkan beliau memperlihatkan hegemoni akademia yang selama ini dibelenggu AUKU.

“Tindakan Sharifah Zohra secara tidak langsung mencerminkan sikap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang angkuh untuk menerima perbezaan pendapat atau kritikan secara terbuka apa lagi ia dari kalangan orang muda yang terpelajar,” jelas Mazir.

Menurut beliau, pusat pengajian tinggi negara ini bukan saja gagal mengamalkan sifat keterbukaan malah bertukar sebagai pusat indoktrinasi minda mahasiswa.

“Disebabkan kerajaan lebih mementingkan ‘proses indoktrinisasi’, pentadbiran universiti juga gagal memainkan peranan sebenar sebagai gedung ilmu untuk golongan mahasiswa.

“Ini merupakan tragedi yang menyedihkan dalam budaya intelektual dalam kampus universiti,” ujarnya.

Tambah Mazir yang juga Ketua Biro Pakatan Rakyat DAPSY, jika keadaan ini berterusan, budaya intelektual dalam universiti akan lenyap dan akhirnya mahasiswa yang lahir hanya akan menjadi alat kepada parti politik tertentu.

Justeru, beliau menyeru agar anak-anak muda dan juga golongan mahasiswa untuk bangkit mengubah budaya jelek ini kepada satu budaya intelektual yang bebas, terbuka, sederhana dan bersikap toleransi tinggi.

“Tiada jalan lain lagi kecuali ubah kerajaan yang nyata telah gagal menyediakan ruang budaya ilmu yang subur di kalangan pendidik dan mahasiswa,” kata beliau. – Roketkini.com