Berita

Pelaksanaan gaji minima mesti disertakan dengan program peralihan untuk IKS

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Dasar gaji minima hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya dilaksanakan BERSERTA dengan rancangan bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana.

Dalam satu kenyataan media bersama, Jawatankuasa Dasar Pakatan Rakyat menyatakan bahawa pendekatan serampang dua mata akan membolehkan IKS untuk berhadapan dengan peralihan pelaksanaan gaji minima.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Untuk memastikan kejayaan dasar gaji minima, Pakatan Rakyat mahu, antaranya:

  • Seluruh Kerajaan Persekutuan mestilah mengamalkan integriti dan rasuah sifar. Rasuah merupakan kos terbesar buat IKS;
  • Monopoli seperti permit kelulusan keluli, Puspakom, Fomema dan lain-lain bentuk kronisme sepatutnya dikekang dan dihapuskan untuk mengurangkan kos;
  • Jalan yang dikenakan tol sepatutnya dikurangkan harganya dan Lebuhraya Utara Selatan sepatutnya percuma tanpa tol untuk mengurangkan kos pengangkutan;
  • Kementerian Dalam Negeri akan mengekang kebanjiran pekerja asing tanpa izin serta mengurangkan bilangan pekerja asing berdokumen;
  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memastikan pelepasan cukai dan faedah lain hendaklah dipadankan dan mudah didapati oleh  IKS tempatan yang layak, yang mana birokrasi dan layanan istimewa selalunya mengakibatkan IKS sering tidak mempunyai akses terhadap bantuan kewangan.
  • Pelaburan asing yang tidak layak dan tidak mapan seperti Lynas hendaklah ditolak;
  • Sektor pendidikan akan berkerjasama dengan industri untuk mewujudkan pekerja dan bakat berkemahiran untuk sektor industri yang lebih kuat; dan
  • Kesungguhan politik yang kuat dan iltizam menyeluruh kerajaan oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional diperlukan untuk membantu IKS dalam tempoh peralihan ini.

“Pakatan Rakyat menegaskan sekali lagi sokongannya terhadap dasar gaji minima sebagai salah satu dasar yang perlu untuk menambahbaik ekonomi daripada intensif buruh kepada berasaskan kemahiran dengan pengurangan jumlah pekerja asing tidak berkemahiran.

“Kami percaya bahawa gaji minima akn membantu untuk mengeluarkan pekerja Malaysia daripada perangkap pendapatan rendah dan sederhana, yang akhirnya akan menggerakkan dan menaiktaraf pekerja Malaysia untuk mencapai pergerakan dan peluang sosial yang lebih besar dalam jangka masa panjang.

“Objektif paling utama adalah untuk mencipta kitaran baik kemahiran tinggi, produktiviti tinggi dan pendapatan tinggi,” jelas kenyataan itu.

Pakatan Rakyat juga mencadangkan pemdekatan jangka pendek seperti berikut untuk membantu tempoh peralihan:

  • pengurangan atau pengecualian levi buruh untuk tempoh masa tertentu disasarkan kepada pekerja berkemahiran dan profesional untuk akhirnya menaiktaraf
  • menghapuskan orang tengah daripada mengeluarkan permit bagi pekerja asing, yang akan mengurangkan kos pekerjaan;
  • subsidi latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja;
  • menyediakan faedah pengangguran kepada pekerja yang diberhentikan akibat pelaksanaan dasar gaji minimum untuk tempoh masa tertentu;
  • dan yang lebih penting, dana pemudahcara bagi industri untuk mengautomasi dan meninggalkan operasi intensif buruh.

Jawatankuasa Dasar Pakatan Rakyat berhasrat mewujudkan ekonomi yang berperikemanusiaan yang berpertumbuhan tinggi, berkemahiran tinggi, berproduktiviti tinggi dan berpendapatan tinggi, yang akhirnya akan menghasilkan keputusan “menang-menang” bagi kedua-dua majikan dan pekerja.

“Gaji minima adalah titik asas yang akan memberikan satu tahap maruah kepada buruh di negara kita,” kata kenyataan itu. – Roketkini.com