Berita

Projek IC, Projek M: Bimbang Mahathir ‘hilang daya ingatan lagi’

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah saksi penting Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah kerana bertanggungjawab terhadap Projek IC atau Projek M kepada pendatang tanpa izin di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, bolehkah Mahathir memberi jaminan yang beliau tidak akan diserang penyakit hilang daya ingatan ketika memberi keterangan di hadapan RCI di Sabah nanti, supaya tidak berlaku seperti ketika dia memberi keterangan di hadapan RCI terhadap siasatan video Linggam pada Januari 2008.

Katanya, beliau bimbang Mahathir akan berkata “saya tidak ingat” ketika memberi keterangan kepada RCI Sabah sebagaimana perkara sama diucapkan ketika muncul memberi keterangan kepada RCI yang menyiasat kes video Linggam, dalam testimoni 90 minit pada Januari 2008.

“Adakah Mahathir akan diserang sekali lagi penyakit hilang daya ingatan malahan memecah rekod hilang daya ingatannya ketika dia muncul di hadapan RCI di Sabah nanti

“Setakat ini Mahathir beliau belum lagi disepina untuk memberi keterangan di RCI, tetapi adakah dia bersedia melakukannya jika dipanggil,” katanya..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Mahathir sudah menjawab pendedahan di RCI mengenai Projek IC atau Projek M pendatang tanpa izin dan penipuan “resit KP-untuk-undi” serta “kewarganegaraan-untuk-undi” di Sabah pada 1990an, tetapi tindakan Mahahtir itu melampau kerana pertama kalinya dalam tempoh 14 tahun mengakui kewujudan Projek IC atau Projek M yang jahat dan khianat bukan sahaja untuk menumbangkan proses pengundian tetapi juga kedaulatan Sabah dan Malaysia.

“Mahathir baru semalam mengaku kewujudan Projek IC atau Projek M itu mengikut undang-undang apabila mengatakan “Ya, ia mengikut undang-undang” sejak dakwaan berkenaan mula muncul di dalam petisyen pilihan raya Likas pada 1999.

“Sekiranya Projek IC atau Projek M itu mengikut undang-undang, memberi KP dan kewarganegaraan kepada pendatang asing adalah “dijamin undang-undang”, mengapa Mahathir perlu menafi dan menyembunyikan daripada rakyat Sabah dan Malaysia untuk berdekad lamanya,” ujarnya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 83 Hari ke PRU-13, semalam..

Beliau berkata, Mahathir tidak sepatutnya menfitnah Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman apabila mendakwa Perdana Menteri pertama itu melakukan sesuatu yang lebih buruk memberi kewarganegaraan kepada sejuta orang yang tidak layak di semenanjung Malaysia.

Katanya pengakuan Mahathir yang melakukan penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi” bagi mempertahankan kuasa politik UMNO adalah satu jenayah dan pengkhianatan, tetapi cuba menyelamatkan diri dengan berlindung pada bayang-bayang Bapa Malaysia melalui pembohongan bahawa Tunku melakukan sesuatu yang lebih teruk berbanding dirinya.

“Saya sedih dan tragis apabila Perdana Menteri paling lama di Malaysia tidak faham bahawa “dua kesalahan tidak menjadikan satu betul” yang disifatkan sebagai penakut, menjengkelkan dan hina apabila menuduh Tunku melakukan jenayah dan pengkhianatan yang lebih teruk berbanding dirinya berkenaan Projek IC atau Projek M.

“Tunku tidak pernah memberi kewarganegaraan untuk menumbangkan proses pengundian tetapi memastikan menjelang Kemerdekaan pada 1957, bukan Melayu yang tinggal di Malaya mempunyai hak untuk kewarganegaraan, yang dipersetujui semua termasuk Majlis Raja-Raja yang semuanya dilakukan dalam keadaan yang terbuka dan telus,” katanya.

Menurutnya, adakah Mahathir melakukan Projek IC atau Projek M itu dengan proses yang terbuka dan telus, dan mendapat mandat daripada Kabinetnya, Majlis Raja-Raja dan rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah. – Roketkini.com