Berita

Kit Siang anggap Mahathir semakin mengarut

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap semakin mengarut apabila mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan kepada satu juta pendatang asing di dalam Persekutuan Malaya sebelum merdeka.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, dua hari sebelum ini, Mahathir menegaskan bahawa apa yang beliau lakukan di dalam Projek IC atau Projek M di Sabah adalah “mengikut undang-undang”, dan menuduh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman melakukan lebih teruk dengan memberi kewarganegaraan kepada satu juta warga semenanjung Malaysia yang tidak layak” sebelum Merdeka.

Katanya, ini bermakna Mahathir secara haramnya menghalalkan pendatang haram di Sabah ketika 22 tahun era pemerintahannya yang boleh mencecah antara 1.5 hingga 1.9 juta, dengan permintaan mengarut supaya diadakan RCI terhadap satu juta kewarganegaraan sebelum Merdeka.

“Mahathir, Perdana Menteri paling lama memerintah selama 22 tahun iaitu daripada 1981 hingga 2003, terus memburukkan politik dan masa depan Malaysia selepas 10 tahun bersara.

“Dengan sekali pukul, Mahathir bukan saja mencemarkan kenangan dan nama baik Tunku Abdul Rahman, tetapi semua pemimpin UMNO/Perikatan yang terbabit di dalam perjuangan kemerdekaan, termasuk Tun Razak, Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan.

“Amat mengejutkan setelah tiga hari berlalu tetapi tanpa sebarang suara daripada pemimpin UMNO/MCA/MIC untuk mempertahankan Tunku, Tun Razak, Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan.

“Saya sendiri juga tidak percaya apabila selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) Khamis lalu, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah bersetuju dan mengesahkan dakwaan Mahathir mengenai Tunku memberi kewarganegaraan kepada satu juta orang Cina dan sebab itu semalam saya minta Najib membersihkan bukan saja nama Tunku, tetapi juga Tun Razak dan satu juta warga generasi Merdeka daripada fitnah Mahathir,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 81 hari ke PRU-13, semalam..

Menurutnya, walaupun Mahathir cuba mengurangkan kesan kejutan daripada cadangan mengarutnya itu, rakyat Sabah dan Malaysia jangan biarkan Mahathir mengalih perhatian daripada masalah utama dalam RCI Sabah. – Roketkini.com