Berita

Rakyat tidak yakin fitnah Mahathir terhadap Tunku

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Rakyat bukan setakat tidak yakin terhadap integriti institusi negara, malah pertikai iltizam kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap dasar 1Malaysia terhadap fitnah bekas Perdana Menteri paling lama memerintah, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman dan satu juta warga generasi Merdeka apabila cuba menjustifikasikan Projek IC atau Projek M yang melakukan jenayah dan pengkhianatan “kewarganegaraan-untuk-undi” di Sabah bagi mempertahankan kuasa UMNO di negeri itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membersihkan nama Tunku Abdul Rahman, bapanya sendiri Tun Razak dan satu juta warga generasi Merdeka daripada fitnah Mahathir itu.

Katanya, Mahathir juga sepatutnya menjawab kepada rakyat Sabah dan Malaysia mengapa beliau hidup di dalam pembohongan selama dua dekad  iaitu 10 tahun sebagai PM dan 10 tahun selepas bersara apabila menafikan kewujudan Projek IC atau Projek M yang melakukan penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi”.

“Persoalannya, bagaimana rakyat Malaysia mahu melihat dasar 1Malaysia Najib sebagai sebuah dasar yang serius bagi menjadikan Malaysia yang lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih berdaya saing apabila usaha pembangunan bangsa bukan saja oleh Tunku Abdul Rahman, juga satu juta warga generasi Merdeka diperkecil malah difitnah seperti yang dilakukan Mahathir.

“Mahathir mendakwa Tunku melakukan sesuatu yang lebih teruk daripada Projek IC atau Projek M apabila memberi kewarganegaraan kepada sejuta warga semenanjung Malaysia yang tidak layak,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 82 hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, matlamat 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih berdaya saing, dan kemuncaknya sebuah negara yang hebat: sebuah negara yang diharapkan agar setiap warga Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, dan kemudian barulah melihat dirinya berdasarkan bangsa, agama kawasan geografi dan latar belakang sosial, dan juga sebuah negara yang diharapkan agar prinsip 1Malaysia dijalin dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.

Menurutnya, Rakyat Malaysia sekarang bingung dengan jawapan Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Khamis lalu mengenai pendedahan penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi” oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah dan reaksi Mahathir.

“Sebenarnya, Najib tidak katakan apa yang lebih penting daripada yang beliau katakan iaitu masih awal untuk membuat kesimpulan daripada RCI memandangkan ia masih di peringkat permulaan dengan 167 lagi saksi akan dipanggil, Najib juga berhati-hati mengelak memberi komen kepada fitnah Mahathir terhadap Tunku serta satu juta warga generasi Merdeka.

“Adakah ini bermakna Najib menyokong fitnah Mahathir bahawa Tunku memberi kewarganegaraan kepada sejuta warga tidak layak iaitu bukan saja  mengaitkan Bapa Malaysia tetapi juga bapa Najib, Tun Razak

“Saya harap Najib segera membersihkan bukan saja nama Tunku tetapi juga bapanya, Tun Razak dan menjauhkan dirinya daripada fitnah Mahathir itu,” katanya.

Kit Siang berkata, walaupun tahun baru 2013 baru separuh bulan berlalu, dasar 1 Malaysia Najib Razak mengalami dua tamparan hebat  iaitu insiden “Listen, listen, listen!” Sharifah-Bawani dan fitnah . Mahathir terhadap Tunku Abdul Rahman dan satu juta warganegara generasi Merdeka.

Katanya, klip video terkenal “Listen, listen, listen!” Sharifah-Bawani adalah bukti terkini berterusan dan bahaya tersembunyi pusaka 22 tahun pemerintahan drakonian Mahathir, mendedahkan kepalsuan dakwaan bahawa pemerintahan Najib membuang segala beban lampau yang bersifat Mahathir dan kini menganut kepercayaan “Era kerajaan tahu semua telah berlalu”. – Roketkini.com