Berita

Sekat kebebasan seni: Buskers tak perlu permit, DBKL disaran timbang semula cadangan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Pemuda DAPSY mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang semula cadangan untuk mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan (buskers) kerana tindakan itu dilihat semata-mata untuk menyekat kebebasan berekspresi dan berkarya serta mengganggu proses perkembangan kebudayaan dan seni.

Ketua Biro Pakatan Rakyat Pemuda DAPSY, Mazir Ibrahim, berkata tindakan DBKL untuk mengenakan permit ke atas semua buskers juga sama seperti cara kerajaan BN mengawal media massa, menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi melalui undang-undang dan peraturan yang tidak adil.

“Alasan DBKL kononnya ada orang buat persembahan “tak tentu arah” tidak masuk akal. Apakah sudah ada orang membuat persembahan “tak tentu arah”?

“Adakah pemuzik jalanan membuat persembahan “tak tentu arah”? Dan paling penting sekali, siapakah yang seharusnya menentukan maksud “tak tentu arah” itu?” soal Mazir dalam satu kenyataan.

Gesaan ini dibuat berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Ab Aziz yang dilaporkan media massa semalam mengenai rancangan DBKL mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan.

Selain itu, Mazir berkata, proses permohonan permit biasanya penuh dengan birokrasi, malah ia juga akan turut mengenakan beberapa syarat yang mana ia boleh menyekat kebebasan kreatif golongan ini.

“Cadangan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim pada Jumaat lalu berjanji menyediakan satu lokasi di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk penghibur jalanan menjalani latihan kesenian mereka, membuktikan rancangan kerajaan BN untuk mengawal dan menyekat kebebasan pemuzik jalanan.

“Penetapan sesuatu lokasi persembahan, pemaksaan permit dan sebagainya boleh membantutkan persembahan seni sehingga menjadi kaku dan beku,” ujar beliau.

Justeru, beliau menyeru DBKL menimbang semula cadangan untuk mengenakan permit dan agar semua pihak termasuk buskers, peminat serta warga kota yang prihatin, duduk berbincang sebelum melaksanakan peraturan mengongkong seperti itu. – Roketkini.com