Berita

Forum Listen: “Universiti kita mandul, mahasiswa dibonsaikan” – Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR, 23 JAN:  Akibat campur tangan politik sempit kerajaan UMNO-BN, universiti di Malaysia mengalami sindrom “mandul” menyebabkan gagal melahirkan intelek yang berupaya membimbing masyarakat dan memperjuangkan nasib golongan tertindas.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, “kemandulan” universiti tempatan adalah disebabkan pemerintah menyemai budaya takut dan budaya ‘bodek’ di kalangan masyarakat meliputi golongan mahasiswa atau pensyarah melalui ugutan, tekanan dan sebagainya.

Katanya, budaya takut dan bodek menyebabkan ahli akademik termasuk mahasiswa hilang keberanian, jati diri dan kebolehan berfikir secara kritis dan progresif.

“Apabila sudah takut, wujud pula “pembonsaian pemikiran” melalui program brainwashing. Bila pemikiran mahasiswa dibonsaikan menjadi “ketot” maka berlaku insiden “listen, listen, listen, when I speak you listen”.

“Ingin saya katakan, ini bukan saja ‘pembonsaian’, ini pemerkosaan pemikiran mahasiswa,” ujar beliau sambil disambut sorakan hadirin pada Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH), malam tadi.

Mengulas mengenai kebebasan akademik, Dr Mazlee memetik kata-kata Syed Naguib al-Attas yang menegur sikap universiti di Malaysia kerana sekadar menjadi sebuah kilang menghasilkan graduan mengikut kehendak pasaran semata-mata sehingga akhirnya, graduan yang terhasil menjadi bisu dan hanya terpendam dalam sektor pekerjaan masing-masing.

“Bila universiti hilang roh yang sepatutnya menjadi medan ilmu, ia tidak lagi dapat memainkan peranannya, menyebabkan menyusul pula budaya ‘bebalisme’,” ujarnya.

Menurut Dr Maszlee, ‘bebalisme’ yang dimaksudkan ialah manusia yang bebal, tidak boleh selesaikan masalah tetapi pandai mengampu sehingga menjadi masalah kepada orang lain.

“Kesan “bebalisme” akan merosakkan keseimbangan masyarakat, mewujudkan jurang kelas yang besar dan menularnya gejala rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya,” tambahnya.

Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi ini turut menampilkan beberapa lagi panelis lain iaitu Professor Dr Aziz Bari, mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani, bagaimanapun, seorang panelis dari Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra gagal hadir. – Roketkini.com