Berita

Kit Siang anggap pembohongan NST perbuatan durjana dan hina

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Satu lagi penipuan dan pembohongan melampau dilakukan media perdana UMNO/BN, New Straits Times, semalam yang menyiarkan laporan palsu pada muka surat 6 bertajuk “Wife of ailing MP angry at DAP”.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, selain Utusan Malaysia, satu lagi portal berita yang jahat, NST mendakwa Irene Chang, isteri kepada Ahli Parlimen DAP Sibu dan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng,“ dikatakan mengkritik parti kerana gagal memberi bantuan kewangan kepada suaminya, yang menghidap penyakit tumor otak” dan menuduh “kepimpinan parti tidak berhati perut” serta memarahi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau menganggap laporan penipuan dan pembohongan itu melanggar etika dan asas kewartawanan, tetapi mereka-reka penipuan dan pembohongan bagi memperoleh keuntungan politik dan tidak mempedulikan kesengsaraan individu yang berada dalam keadaan tertekan seperti yang dilakukan NST kepada Wong Ho Leng dan Irene Chang adalah perbuatan durjana dan hina, hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan atau bukan manusia saja mampu membenarkan tindakan sedemikian.

Menurut Kit Siang, Hakim V.T. Singham ketika penghakimannya dalam kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menasihatkan wartawan dan editor supaya berhati-hati dengan apa yang mereka tulis supaya tidak memasukkan komen yang mungkin menimbulkan keraguan kepada seseorang.

Mengikut Singham akhbar sepatutnya tidak mempunyai kuasa yang lebih besar dalam menarik perhatian atau mengelirukan fikiran rakyat berbanding reputasi individu. Jadi penting bagi wartawan, editor dan penerbit mengambil langkah berhati-hati sebelum menyiar atau menerbitkan artikel yang cenderung merosakkan reputasi individu, termasuk mengelak mengandungi sindiran atau tohmahan tanpa pengesahan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, nasihat hakim itu tidak memberi sebarang kesan kepada media perdana UMNO/BN, begitu juga permintaan beliau supaya media perdana UMNO/BN menghentikan politik penipuan dan pembohongan.

“Tindakan NST itu tidak dapat dimaafkan kerana Irene Chang sudah memberi penjelasan dalam Facebooknya semalam:

Saya dimaklumkan mengenai rencana tertentu yang diposkan secara atas talian yang melaporkan saya merungut terhadap kepimpinan parti kami. Saya benar-benar marah. Tiada kebenaran di dalam artikel itu.

Saya tidak pernah diwawancara atau merungut terhadap parti kami atau sesiapa pun. Lebih penting lagi, tidak pernah saya rasa, walau sesaat bahawa saya mempunyai sebab untuk merungut berkenaan parti kami atau sesiapa khususnya.

Hakikatnya, selepas keadaan kesihatan suami saya didiagnosis, saya begitu risaukan keadaan kesihatannya berbanding merisaukan sama ada parti akan memberi bantuan kewangan atau tidak.

Sungguhpun begitu, saya ingin jelaskan bahawa semenjak pemimpin parti kami dimaklumkan mengenai keadaan suami saya, setiap seorang daripada mereka, benar-benar memberi sokongan dan mengambil berat.

Suami saya dan saya, sebenarnya merasakan kami benar-benar bertuah mengenali mereka, yang melangkaui peranan sebagai rakan seperjuangan politik menjadi sahabat yang sangat mengambil berat.

Keluarga saya dan saya begitu amat tersentuh dengan seruan mendapat sokongan untuk suami saya oleh Setiausaha Agung, YAB Lim Guan Eng, sebuah penghargaan mengenainya telah diposkan oleh anak sulung kami, Suzanne Gail Wong, di dalam facebooknya pada 14 Januari 2013.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk membiarkan rencana itu disebarkan supaya orang ramai menghakimi pemimpin parti kami, parti kami dan diri saya, tanpa sebarang asas langsung. Saya dengan itu mengecam sekeras-kerasnya rencana itu kerana setiap ayatnya adalah penipuan.”

“Saya ingin bertanya pemimpin UMNO/BN hari ini bahawa ke dasar tanpa etika dan ke lubang mana lagi yang mereka dan media perdana mereka akan gali sebelum PRU-13 nanti,” kata kit Siang dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 79 Hari ke PRU-13, semalam.

Semalam, beliau meminta media perdana itu mengakhiri politik penipuan dan pembohongan menjelang PRU-13, yang akan diadakan paling lewat sekitar 156 hari lagi pada 27 Jun ini tetapi dijangka diadakan kurang daripada 70 hari lagi.

Beliau merujuk kepada kalahnya lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia di dalam kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima teguran Singham yang mendapati Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Editornya, Datuk Abdul Aziz Ishak bersalah merosakkan reputasi Anwar dan mendedahkan dirinya kepada cemuhan.- Roketkini.com