Berita

BN terdesak, PR semakin cerah ke Putrajaya

KUALA LUMPUR, 25 JAN: UMNO/BN pasti akan menggunakan senjata terakhirnya untuk memecahbelahkan perpaduan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) terutama berusaha memisahkan kesepaduan PAS dan DAP sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan itu menggambarkan betapa terdesaknya pemimpin UMNO/BN, propagandis dan tukang putar mereka setelah merasakan peluang untuk mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin tergugat

“Semalam tukang putar media UMNO/BN mendakwa “Pakatan parties may go own way”, berdasarkan andaian “dengan peluang menawan Putrajaya semakin tipis, PAS dan DAP mungkin mahu merampas negeri yang mereka suka”.

“Pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN adalah mangsa fantasi mereka sendiri kerana “pemerhati politik yang waras” dan bebas berpendapat peluang parti itu berubah ketika tempoh berkempen dan memberikan Pakatan Rakyat kemenangan untuk mengambil alih Putrajaya pada PRU-13,” katanya dalam kenyataan media mengeni Pengiraan Detik 77 hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau tidak perlu merujuk kepada “kemingkinan tinggi” yang diramal Ketua Ekonomi Bank Islam yang digantung, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin di Singapore Regional Outlook Forum, awal bulan ini bahawa Pakatan Rakyat mungkin membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti 28 kerusi, manakala BN mungkin memenangi hanya 97 dan 107 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU-13.

Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman juga memberi senario yang hampir sama dengan Azrul Azwar apabila menyatakan secara terbuka Pakatan Rakyat boleh menang dengan majoriti tipis antara lima dan 10 peratus kerusi Parlimen atau majoriti antara 12 dan 22 kerusi.

Beliau berkata, pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN tidak mungkin tidak sedar dengan tinjauan terbaru yang menunjukkan himpunan Pakatan Rakyat semakin meningkatkan sokongan dan kekuatan menjelang PRU-13, dengan peluang dan kemampuan untuk mengubah segalanya ketika kempen nanti.

“Tiga hari lalu, Pengarah Pusat Kajian Demokras dan Pilihan Raya (Umcedel), Mohamad Redzuan mengatakan “mustahil” untuk BN mendapat semula majoriti dua pertiga di Parlimen, sebaliknya menjangkakan BN hanya mampu mengekalkan status quo pada PRU-13.

“Keputusan undian terbaru yang dijalankan Umcedel antara 26 Disember dan 11 Januari lalu, menunjukkan peluang lebih gelap buat BN pada PRU-13, dengan perbezaan antara mereka yang percaya BN mampu menewaskan PR berkurangan daripada 25% pada Disember 2011 kepada 5% pada Januari 2013.

“Pertama sekali, responden percaya Pakatan Rakyat akan memperoleh Putrajaya pada PRU-13 meningkat daripada 18% pada Disember 2011 kepada 21% pada April 2012 kepada 30% pada September 2012 dan 37% pada Januari 2013.

“Sebaliknya, responden yang percaya BN boleh memenangi PRU-13 menurun daripada 43% pada Disember 2011 kepada 49% pada April 2012 kepada 44% pada September 2012 dan 42% pada Januari 2013.

“Responden yang tidak membuat keputusan atau tidak pasti siapa yang boleh menang PRU-13 juga jatuh daripada 39% pada Disember 2011 kepada 30% (April 2012) dan 26% (September 2012) dan 21% pada Januari 2013.

“Semua yang diperlukan untuk PR menewaskan BN di dalam perlumbaan ke Putrajaya adalah untuk memenangi lima peratus responden yang tidak membuat keputusan atau tidak pasti iaitu sebanyak 21% pada Januari 2013,” katanya.

Menurut Kit Siang, tinjauan terkini Umcedel juga menunjukkan populariti Najib dan Anwar Ibrahim sangat hampir dengan hanya perbezaan satu peratus iaitu Najib 43 peratus dan Anwar 42 peratus sebagai “yang paling layak menjadi Perdana Menteri”.

Katanya, tinjauan Umcedel mengesahkan pandangan undian Merdeka Centre terbaru pertengahan Disember lalu mendapati populariti Najib jatuh ke tahap paling rendah untuk keseluruhan tahun itu iaitu 63% pada Disember 2012 berbanding 69% pada Febuari 2012 sementara 52 peratus pengundi mengatakan negara sedang menuju ke arah yang betul, paling rendah sejak Mei 2010.

“Walaupun kedudukan Najib menjunam ke tahap paling rendah tahun lalu, Merdeka Centre juga melaporkan tahap tidak puas hati  sampai ke tahap tertinggi dalam empat tahun pemerintahan Najib, pada 30% berbanding 28% pada Oktober 2012 dan 16% pada Mei 2009.

“Pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN pula membuat jangkaan tanpa asas mengatakan BN akan menang besar pada PRU-13 dan mencipta fantasi bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah dengan DAP dan PAS menarik diri, dan terus menghadiahkan UMNO/BN jalan mudah pada pilihan raya umum nanti,” ujarnya.

Beliau berkata, kita menjangkakan UMNO/BN akan memperbanyakkan politik penipuan dan pembohongan dengan menambah kempen pengecut memberitahu orang Melayu dan umat Islam pembohongan bahawa PAS adalah boneka DAP dan pada waktu yang sama menipu orang Cina bahawa DAP hanya pelawak buat PAS.

Katanya, apa pun perbezaan dalam Pakatan Rakyat, DAP, PKR dan PAS, semuanya kini menjadi satu parti dan beriltizam dengan matlamat bersama seperti yang termaktub di dalam Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan pelbagai Pengisytiharan dan Kenyataan Dasar Bersama.

“Kami menolak politik hagemoni, kebencian kaum, pelampau agama, rasuah dan kronisme.
Sebaliknya komited menegakkan perkara asas di dalam Perlembagaan, prinsip keadilan, kebebasan, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa bagi membangunkan Malaysia yang harmoni, berdaya saing, makmur dan progresif yang mana setiap rakyat Malaysia boleh berbangga sebagai rakyat Malaysia walaupun berada di mana ceruk dunia.

“Rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan UMNO/BN terus dengan politik Machiavellian, menipu dan pembohong, tidak bertanggungjawab dan bermain api perkauman dan agama, sebaliknya sejarah akan tercipta selepas 55 tahun untuk mewujudkan Kerajaan Persekutuan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat dan membuka lembaran baru di Putrajaya membina bangsa Malaysia yakni fasa kedua Merdeka untuk membebaskan rakyat daripada penindasan di negara sendiri,” tambahnya – Roketkini.com.