Berita

Proses pendaftaran pengundi luar negara diragui

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melengahkan pendaftaran pengundi luar negara hampir 13 bulan dari tarikh cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk penambahbaikan pilihan raya menimbulkan banyak keraguan terhadap kesediaan dan komitmen badan itu terhadap proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke yang mewakili DAP dalam jawatankuasa itu mempertikaikan kemampuan SPR untuk menguruskan soal pendaftaran pengundi luar negara memandangkan tarikh mula pendaftaran ditetapkan pada 31 Januari ini.

Pada sidang medianya di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP bersama Strategis Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming, Anthony meragui sama ada SPR mampu menyelesaikan pendaftaran itu dalam masa kurang dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP menganggarkan Parlimen bakal dibubar selewat-lewatnya 26 Mac ini iaitu tarikh Dewan Undangan Negeri Sembilan akan bubar secara automatik.

Tambahnya lagi, SPR juga menambah syarat baru yang tidak termasuk dalam cadangan PSC dengan mensyaratkan pengundi luar negara yang mahu mengundi secara pos mesti pernah kembali ke tanah air dalam tempoh lima tahun terakhir dan tinggal untuk tidak kurang 30 hari.

Anthony menggesa pihak SPR mengkaji semula syarat itu dan membatalkannya memandangkan syarat itu adalah tidak adil dan akan menimbulkan kesulitan proses yang tidak sepatutnya.

Mesti ada pemantauan parti politik
Beliau turut menambah bahawa SPR masih belum boleh meyakinkan parti politik yang bertanding mengenai ketelusan proses pemberian kertas undi kepada pengundi luar negara di pejabat kedutaan negara masing-masing.

“Perenggan 31 ‘Soal Jawab Pengundian Pos di Luar Negara’ menyebut bahawa pengundi digalakkan mengundi (membuat penandaan pada kertas undi) di kedutaan; tetapi adakah pihak kedutaan bersedia untuk proses tersebut,” ujar beliau sambil menambah bahawa parti politik wajar dibenarkan meletakkan agen pengiraan undi (PACA) di kedutaan bagi memantau proses dan mekanisme pengundian terbabit.

Bagi Dr Ong Kian Ming, soal keselamatan kertas undi menjadi tumpuan utama memandangkan ada kerisauan seandainya kertas undi berkenaan hilang atau disalahguna pihak tertentu.

Menurutnya, proses pembahagian semula kertas undi yang sampai ke Wisma Putra ke pejabat SPR mestilah dipantau oleh wakil parti politik untuk mengelak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Beliau juga turut menambah bahawa tempoh kempen 21 hari sepertimana tuntutan Bersih wajar dipertimbangkan sekiranya SPR benar-benar ikhlas untuk melaksanakan pendaftaran pengundi luar negara memandangkan tempoh masa proses pengundian dan pengembalian kertas undi ke tanah air akan mengambil masa yang panjang.

Anthony dan Dr Ong Kian Ming turut menuntut supaya pihak SPR mengemaskini Daftar Pemilih dengan mengambilkira pendaftaran pengundi luar negara pada hari penamaan calon bagi memudahkan calon mengenalpasti pemilih terbabit. – Roketkini.com