Budaya

Kisah Sehelai Sari Oleh: Uthaya Sankar SB

SUATU sumber paling mudah untuk menyaksikan pelbagai sari yang yang diperagakan pula dengan pelbagai gaya yang menawan adalah menerusi filem-filem Tamil dan Hindi.

Semasa perhimpunan besar-besaran di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011, ada seorang tokoh bijak bestari mencadangkan supaya kemasukan filem Hindi ke Malaysia disekat sebagai “pengajaran” kepada kaum India di negara ini.

Mujurlah cadangan terlebih bijak itu tidak dilaksanakan. Jika tidak, tentu masyarakat umum – khususnya kaum Melayu sendiri – yang tergila-gila akan filem Hindi tidak berpeluang menikmati lagu, tarian, busana dan pelakon yang kacak/jelita beraksi di layar perak atau kaca televisyen.

Cadangan sekatan kemasukan filem Hindi itu dikemukakan di tengah-tengah kehangatan perhimpunan yang diadakan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan puluhan NGO Melayu, khusus untuk “mempertahankan” novel Interlok daripada “diubah walau sepatah perkataan” apabila dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) dahulu.

Sepertimana kita sedia maklum, kemasukan filem-filem Hindi dari India masih berterusan dan saya yakin seratus peratus bahawa rata-rata kumpulan yang bersorak riang menyokong penuh cadangan “bijak” pada 15 Januari 2011 masih menjadi peminat tegar filem Hindi. Sekali gus, mereka berpeluang melihat pelbagai jenis sari yang diperagakan pelakon yang seksi dan jelita.

Dalam kalangan kaum India, seorang gadis mula-mula memakai – atau lebih tepat lagi, dipakaikan – sari apabila dia meninggalkan alam kanak-kanak dan memasuki alam remaja pada usia sekitar 12 tahun. Pemakaian sari pada kali pertama ini melambangkan pengiktirafan masyarakat terhadap gadis berkenaan sebagai sudah dewasa.

Sari boleh dipakai dan digayakan dengan pelbagai cara mengikut budaya setempat.

Pakaian tradisional ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama, iaitu kain sari itu sendiri yang panjangnya sekitar enam meter, dan blaus pendek. Tidak kurang penting juga adalah barang perhiasan diri seperti rantai, anting-anting, gelang tangan, gelang kaki dan sebagainya. Tidak hairanlah wanita India dikatakan memakai perhiasan diri pada setiap anggota badan yang terdedah kepada pandangan umum.

Sama ada disedari atau tidak, sari berfungsi sebagai media komunikasi tanpa lisan. Mesej tertentu berupaya disampaikan oleh pemakai sari berdasarkan warna dan corak kain, cara pemakaian, jenis kain dan tempat sari dipakai. Warna blaus, fesyen blaus dan corak blaus juga mempunyai pengertian tersirat.

Warna sari bawa makna tersendiri

Secara konvensional, sari putih melambangkan pemakainya adalah seorang balu. Tidak dapat dipastikan mengapa, tetapi imej itu sudah sebati dengan golongan balu. Si pemakainya secara automatik dianggap golongan yang sudah merasai segala nikmat dan derita hidup, dan kini menunggu masa untuk kembali menemui Tuhan.

Biasanya si pemakai sari putih diberi tempat khas dalam masyarakat dan dihormati (juga dikasihani). Gambaran ini akan dapat difahami secara lebih mudah menerusi watak Janaki dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012) walaupun balu itu masih melawan/menentang pelbagai amalan konvensional secara halus.

Dalam kalangan masyarakat India yang beragamaa Kristian pula, wanita yang kematian suami memakai sari hitam semasa majlis pengebumian. Sementara itu, wanita India berketurunan Malayali (Malayalam) lazimnya memakai sari putih yang mempunyai zari emas di bahagian tepi.

Sari putih yang dijaga dengan baik mampu menyerlahkan peribadi si pemakai sebagai seorang individu yang kemas dan sentiasa menjaga kebersihan. Malah, mungkin itulah juga makna simbolik yang disampaikan oleh balu bersari putih: bahawa dia suci dan bersih daripada segala noda dan kekotoran (sejak kematian suaminya).

Sari berwarna kuning pula sering dipakai apabila seseorang membawa kavadi atau membayar nazar di kuil; seperti pada Thaipusam. Maka, si pemakainya tidak mengira usia sentiasa dihormati oleh semua orang. Mereka dihormati kerana mereka mempunyai tujuan khas datang ke kuil; iaitu untuk upacara suci berciri keagamaan.

Sari warna lain, sama ada satu warna atau gabungan pelbagai warna, biasanya menggambarkan peribadi pemakainya. Warna yang terang menggambarkan peribadi ceria si pemakai. Malah ada pula golongan yang suka memakai sari yang warnanya menyilau mata. Si pemakai mungkin bersifat berani dan mahu orang ramai, terutama golongan pemuda, memandang mereka.

Sari berwarna pudar pula mencerminkan sikap si pemakai yang pemalu, tidak suka bergaul dan kurang bersosial. Mereka bagaikan tidak mahu menarik perhatian orang ramai. Mungkin juga mereka memiliki sikap merendah diri serta menganggap diri mereka kurang menarik.

Sari berwarna merah memperlihatkan sifat pemakai yang dikatakan pemarah, garang atau sukar didekati. Ia selari dengan peribadi Dewi Kaali bersari merah – seperti dalam novel Panchayat: Edisi Khas – yang dikatakan berupaya membinasakan sesiapa yang cuba mempermainkannya. Jadi, para pemuda yang suka mengusik wajar berhati-hati apabila bertemu gadis bersari serba merah; lebih-lebih lagi jika warnanya merah darah!

Golongan etnosentrik menolak sari

Selain itu, kita dapat mengenali kedudukan sosial dan status seseorang berdasarkan cara dia memakai sari. Secara tradisional, setiap keturunan dan golongan sosial dalam masyarakat India mempunyai cara pemakaian sari yang tersendiri.

Golongan di negara India yang bekerja di sawah, ladang atau mencuci pakaian (dobi) memakai sari hingga ke paras lutut; sesuai dengan jenis pekerjaan yang dilakukan. Jadi, cara pemakaian sari turut menunjukkan status sosial dalam masyarakat mengikut jenis pekerjaan. Harus dinyatakan bahawa pembahagian masyarakat India (di negara India) mengikut jenis pekerjaan disebut sistem jati dan sistem varna; bukannya sistem kasta seperti diketahui secara umum.

Cara pemakaian sari juga membezakan keturunan seseorang. Masyarakat India berketurunan Tamil yang merupakan majoriti kaum India di Malaysia biasanya meletakkan mundani (bahagian selendang sari) pada bahu kiri. Orang Telugu pula meletakkannya pada bahu kanan. Saya pernah menjelaskan perkara ini menerusi sebuah rencana di majalah Dewan Budaya (November 1996).

Pakaian wanita Malayali pula disebut mundhu dan neri. Pada asalnya, orang Malayali tidak mengenakan mundani. Tetapi apabila kain sari berzari digunakan bagi menggantikan mundhu dan neri, bahagian mundani kain sari itu disilangkan pada bahu kanan dari arah belakang dan diletakkan dalam corak neri di bahagian dada.

Wanita moden berkerjaya tetap berbangga memakai sari yang menjadi warisan kaum India.

Pada hari ini, sari juga dipakai secara tidak konvensional. Para pereka mencipta fesyen dan pemakaian sari secara moden. Dengan ini, cara memakai sari juga turut mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Sari boleh digayakan dengan ratusan cara pemakaian mengikut kreativiti individu terbabit.

 

Wanita pelbagai kaum di Malaysia juga suka memakai sari mengikut gaya yang diminati. Semasa saya bertugas sebagai penyunting berita televisyen (Bahasa Malaysia) di Radio Televisyen Malaysia (RTM), saya pernah menemani seorang wartawan membuat liputan khas sempenan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Wartawan itu (Norizan Omar) menerima hadiah sehelai sari daripada pemilik sebuah kedai. Maka, dengan penuh gembira, dia mendapatkan bantuan petugas wanita di kedai itu untuk memakai sari berkenaan. Norizan membuat rakaman laporan khas Deepavali sambil menggayakan sari tersebut.

Bagaimanapun, bahagian itu dibuang dalam siaran berita. Norizan memberitahu saya dengan sedih bahawa ada editor kanan yang memintanya membuang bahagian laporan tersebut kerana kononnya orang Melayu-Islam tidak boleh memakai pakaian menyerupai orang India. Setahu saya, cara Norizan memakai sari amat sopan dan tidak ada apa-apa yang bertentangan dengan peraturan agama.

Serlahkan keperibadian individu

Sesungguhnya, cara pemakaian sari dikatakan boleh menggambarkan peribadi seseorang. Sari yang dipakai ketat sehingga menampakkan susuk tubuh menunjukkan bahawa si pemakai berani dan berbangga dengan bentuk tuduhnya; lalu mahu ditayangkan kepada umum.

Sekiranya selendang digunakan untuk menutup kepala serta bahagian pinggang tidak banyak terdedah, si pemakai mungkin malu dengan bentuk tubuhnya atau semata-mata tidak mahu mempertontonkan tubuhnya kepada umum.

Kalau menampakkan bahagian pinggang dan pusat, pemakainya dikatakan berani dan gemar bergaya. Mereka ini juga biasanya mengikat sari dengan ketat bagi menampakkan susuk tubuh. Mungkin mereka mahu kecantikan yang dimiliki oleh mereka ditonton dan dihargai umum! Lihat sahaja gaya pelakon filem-filem Hindi yang menjadi kegilaan masyarakat kita untuk menyedari hakikat ini.

Cara memakai sari ke kuil tentulah berbeza dengan cara memakainya apabila pergi ke acara sosial atau pesta. Solekan dan barang perhiasan juga perlu disesuaikan dengan tempat dan keadaan di mana sari itu dipakai. Saya ada menyentuh perkara ini dalam suatu rencana pendek dalam surat berita Kavya (September 2002).

Sutera dari Kanchipuram selalu menjadi pilihan penggemar kain sari bermutu tinggi.

Blaus turut menjadi sebahagian daripada pakaian sari. Warna blaus mempunyai fungsi yang sama seperti warna kain sari. Begitu juga corak kain yang digunakan. Blaus berleher kecil, menutup bahagian perut serta berlengan panjang menampakkan peribadi si pemakai yang pemalu dan tidak mahu mendedahkan tubuhnya. Walau bagaimanapun, blaus jenis ini, sekiranya ketat, boleh membawa maksud bahawa si pemakai mahu kelihatan anggun dan seksi.

Dalam perkembangan semasa, aspek corak dan fesyen menjahit blaus diberi perhatian khusus oleh pemakai sari. Hal ini tidaklah menghairankan kerana kalaulah sari yang dipakai hanya sehelai kain panjang dengan hanya satu warna, corak dan gaya pada blaus boleh menjadikan si pemakain kelihatan amat anggun.

Berdasarkan jenis kain sari yang dipakai, kita boleh juga menganggarkan kekayaan si pemakai. Sari daripada benang sutera dipakai oleh wanita yang lebih berada berbanding sari kain nilon atau kain kapas. Kanchipuram dan Banares adalah antara jenis sari kain sutera yang bermutu tinggi serta mahal harganya; bergantung pada kualiti dan seni tenunan. Berkunjunglah ke kedai-kedai menjual sari untuk menikmati sendiri segala keunikan ini.

 

Apa yang nyata, selain fungsi asas sebagai pakaian yang melindungi tubuh badan, sari juga berupaya menyalurkan pelbagai mesej dan maklumat kepada orang ramai yang memperhatikan si pemakai. Dan tidak mustahil bahawa itulah sebenarnya punca seorang individu bijak pandai bangkit menegaskan di Rumah Gapena dahulu supaya filem-filem Hindi disekat daripada masuk ke Malaysia.