Rencana

Pojok: Anak Mami di Perantauan. Memerangi zombie: Satu perjuangan melawan UMNO

PILIHAN raya sudah terlalu hampir. Kehangatan nafasnya sudah boleh dirasa di balik tengkuk. Najib Razak sudah tidak punya banyak pilihan. Badan legislatif Negeri Sembilan bakal terbubar secara automatik pada 28 Mac nanti. Mustahil Najib Razak mahu negeri yang hampir ditawan Pakatan Rakyat pada PRU-12 melalui pilihan raya sendirian.

Najib mesti bubar Parlimen sekitar tarikh itu juga. Tidak kiralah apa pun yang terjadi atau apa pun tilikan ahli nujum Putrajaya; Najib Razak sudah tidak punya banyak alasan.

Namun apalah sangat yang kita nantikan untuk mula berkempen. Barisan Nasional (BN) pimpinan United Malays National Organisation hari demi hari berkempen di kaca televisyen dan surat khabar. Kalau itu tidak dipanggil kempen, takkan nak dipanggil iklan cucur pisang?

Untungnya Pakatan Rakyat ini bukanlah sangat kerana ia mencuba untuk menjadi koalisi politik yang tulus dan telus berkhidmat untuk rakyat; tetapi untungnya Pakatan ini ialah kerana lawannya tidaklah begitu cerdik. Tak adil untuk kita merasakan bahawa kita ini bagus sangat.

Cuma UMNO ini yang amat tidak bagus. Mungkin ada orang UMNO yang bagus tapi rata-rata pemimpin dan kroni kapitalis mereka memang sah tak bagus. Kegagalan terbaru bagi kolektif parti etnosentrik ini pastilah dapat dilihat dalam kempen ucapan tahun barunya yang kini memperlihatkan betapa sakit dan nazaknya BN ini.

Memerangi zombie
BN harus pertamanya difahami sebagai parti politik yang jahat. Kenapa jahat? Kerana ia sudah puluhan tahun berkuasa dan mahu terus berkuasa serta sanggup melakukan apa saja demi mengekalkan kuasanya. Antara lain termasuk menyenaraikan hantu di dalam senarai daftar pemilih.

Isu pengundi hantu ini kalau dibukukan setiap satunya, barangkali boleh dibuat antologi cerita hantu yang boleh dijual. Mujur tuan punya hantu juga tidak begitu cerdik dan bertindak menghantar kad ucapan kepada hantunya. Mudah bagi pihak lawan mencari dan memerangi hantu terbabit.

Barangkali tidak sabar-sabar lagi mahu berinteraksi dengan pengundi, BN telah mula menghantar kad ucapan kepada pengundi di Selangor. Setakat ini belum ada lagi kad yang dihantar kepada negeri lain.

Pendedahan kewujudan ‘zombie Bukit Gasing’ minggu lalu pastinya membuka mata ramai orang. Mana mungkin dalam satu rumah yang tak pernah disewakan atau dihuni orang lain boleh berdaftar sampai puluhan manusia yang tidak dikenali tuan rumah. Di mana mereka sembunyi? Bawah katil? Dalam almari kasut? Mana?

Maka zombie-zombie yang muncul ini mesti diperangi menjelang PRU-13 yang sudah semakin hampir itu. Kenali zombie-zombie ini. Kalau nampak mukanya itu tak semacam warganegara, tahan dia dan suruh dia menyanyi lagu Negaraku. Masanya sudah tiba untuk zombie dan hantu ini semua diperangi habis-habisan.

Lapan minggu sahaja lagi sebelum DUN Negeri Sembilan terbubar secara otomatis. Anda sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, adakah anda sudah bersedia? – Roketkini.com