Budaya

Hegemoni dan penyakit kuku besi Oleh Muhammad Nazreen

Konsep “hegemoni” dibangunkan oleh seorang pemikir Marxis Itali bernama Antonio Gramsci dalam bukunya The Prison Notebook yang ditulis semasa beliau berada dalam tahanan rejim fasis Mussolini sekitar tahun 1928. Malah, karya yang dihasilkan beliau ini menjadi rujukan banyak ahli-ahli akademi untuk memahami teori politik abad ke 19.

Hegemoni, yang dibangunkan Gramsci merujuk kepada dominasi halus golongan pemerintah terhadap subjek pemerintahan mereka. Jadi, rakyat yang menjadi subjek pemerintah ini bukan sahaja dikawal secara langsung tetapi sebenarnya berada dimanipulasi secara sedar tanpa pula menyedari bahawa pemikiran mereka dimanipulasi.

Akhirnya, kawalan dan dominasi golongan pemerintah ini menjadi sebahagian daripada budaya kita tanpa kita sedari. Hegemoni ini kawalan yang bersifat menyeluruh meliputi asas sosial, ekonomi dan politik. Rakyat secara tidak sedar bahawa mengiyakan kebenaran pihak pemerintah. Kendatipun, tindakan golongan pemerintah ‘status quo’ ini bercanggah dengan alamiah manusia sejagat.

Penjajahan budaya

Penjajahan kebudayaan ini adalah hal yang nyata. Malah, penyakit ini merebak di dalam masyarakat kita. Misalnya, Dr. Mahathir Mohamad bersungguh-sungguh memperkenalkan visi dan wawasan 2020 secara paksa menurut autoriti (baca:kuasa). Tanpa sedar, kita gagal bersikap kritikal dengan mengakui kelemahan dasar ini.

Rupa-rupanya ia hanya propaganda untuk membuktikan bahawa Malaysia hanya akan mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 di bawah Barisan Nasional. Kita gagal bersikap kritikal di dalam menangani atau mengkritik dasar yang bermasalah ini. Ianya disebabkan kawalan hegemoni yang dikenakan ke atas kita menyebabkan kita gagal untuk mempertanyakan semula: “Apakah kita hanya menjadi negara maju menjelang 2020 di bawah Barisan Nasional, bukan Pakatan Rakyat atau pakatan lain?”

Seolah-olah, kita hanya perlu memastikan Malaysia menjadi negara maju, bukan menjadi negara yang berkebajikan mahupun negara yang bebas rasuah. Seperti juga di dalam isu demokrasi dan hak asasi. Masalah hegemoni yang menyebabkan rata-rata masyarakat kita menganggap bahawa demokrasi dan hak asasi adalah budaya barat yang menyesatkan. Ini kerana doktrin yang ditanam golongan pemerintah menjadi punca tersebarnya idea hak asasi sangat berbahaya kerana dengan adanya kesedaran hak asasi dan demokrasi, warga akan sedar bahawa selama ini diperbodohkan.

Itulah yang telah dijenterai UMNO selama ini. Kita diajar untuk bersyukur kepada pemerintah yang telah memberi kita peluang pekerjaan, punca rezeki makan dan minum. Walhal, mandat yang diberikan rakyat kepada golongan pemerintah adalah memastikan setiap daripada rakyat menerima manfaat atas tanggungjawab yang mereka amanahkan. Seolah-olah, seorang majikan (rakyat) yang melantik seorang kerani (kerajaan) tetapi kerani pula yang mengarahkan majikan mereka menaip surat. Itu contoh bagaimana proses pembodohan dimainkan berulang-ulang kali.

Penjajahan minda

Hegemoni  adalah penjajahan minda separa sedar. Jadi, perkara ini sangat berbahaya sekiranya kita sebagai rakyat tidak dididik dengan kesedaran politik, untuk menuntut hak politik kita.

Hannah Arendt, seorang pemikir politik pernah mengatakan bahawa, “Kejahatan yang paling bahaya adalah kejahatan yang tidak disedari”. Beliau merujuk kepada laporan perbicaraan pembunuh kejam Nazi, Adolf Eichmann, di Jerusalem pada tahun 1961. Di dalam kes perbicaraan yang terkenal ini, Arendt melihat bagaimana Eichmann dihukum atas kesalahan yang dilakukan oleh Adolf Hitler semasa peristiwa Holocaust (pembunuhan berama-ramai kaum yahudi di eropah oleh Nazi dan sekutunya). Di sini, Arendt melihat jenayah yang dilakukan secara sah, di mana Eichmann dihukum atas kesalahan yang dia tidak lakukan. Dia menggelarnya sebagai ‘Banality of Evil’

Kalau kita perhatikan, hal ini tak jauh beza daripada realiti di Malaysia. Di Malaysia, pejuang hak asasi dan aktivis politik ditangkap dan dinafikan hak untuk dibicarakan. Di dalam Operasi Lalang 1987, lebih 100 aktivis politik dan hak asasi ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka memperjuangkan hak sebagai seorang rakyat Malaysia yang termaktub di dalam undang-undang. Perkara yang sama berulang bila mana Akta Perhimpunan Aman 2012 diwujudkan yang secara nyata bertentangan dengan semangat Perlembagaan Malaysia 1957 di mana Perkara 10 Perlembagaan yang memelihara kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

“Penipuan yang diulang-ulang akan menjadi kebenaran” – kata Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels yang merujuk kepada kempen propaganda besar-besaran rejim Adolf Hitler semasa menjalankan agenda untuk menghapuskan kaum Yahudi serta kaum-kaum bukan kulit putih yang mereka anggap lemah. Maka, akibat hegemoni berterusan ini memangkin kepada penyakit fasisme yang merebak. Dalam kes yang sama, isu Ibrahim Ali dan Perkasa yang mengeluarkan kenyataan media yang semakin hari, semakin menjadi-jadi.

Kita harus sedar bahawa hegemoni UMNO kini sudah memakan hampir 55 tahun. Namun, pembodohan ini tidak akan berterusan sekiranya kita kembali mengenang kata-kata penulis terkemuka, George Orwell, “Di masa berlakunya pembohongan sejagat, menyatakan kebenaran adalah tindakan revolusioner”.

Kejayaan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat membawa kemakmuran di dalam sosial,ekonomi dan politik menjadi bukti bahawa penyakit hegemoni akan hilang sekiranya kita sebagai rakyat tahu akan hak kita sebagai rakyat. – Roketkini.com