Berita

MSC Malaysia semakin lenyap di dunia: Kit Siang

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Malaysia yang diisytihar sebagai Koridor Raya Multimedia (MSC) 16 tahun lalu, kini semakin hilang daripada pengetahuan dunia sebagai lokasi teknologi maklumat (IT) antarabangsa terpenting.

Katanya, Malaysia yang dulunya setanding dengan Korea Selatan dalam IT, namun kini Korea Selatan menjadi negara pertama di dunia menjadi masyarakat jalur lebar dan mempunyai internet terpantas di dunia dengan purata kelajuan pada 2012 14.7 Mbps, 650% lebih tinggi berbanding purata 2.2 Mbps di Malaysia.

“Begitu juga dalam tadbir urus yang baik, Malaysia tertinggal di belakang Korea Selatan terutama dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sejak lima tahun lalu, yang mana Malaysia dilihat lebih korup menduduki tempat ke-47 hingga 60 dalam kedudukan dunia manakala Korea Selatan hanya ke-39 hingga 45.

“Dalam Indeks Kebebasan Akhbar terbaru yang disusun oleh Reporters Sans Frontieres (Reporters Without Borders), Malaysia berada pada kedudukan paling rendah dalam sejarah iaitu ke-145 berbanding Korea Selatan pada kedudukan ke-50.

“Terkini, Trends in Mathematics and Science Survey (TIMSS) 2011 menonjolkan Malaysia sebagai negara yang mengalami kejatuhan terbesar markahnya untuk matematik dan sains di kalangan negara yang menyertainya, sambil mengesahkan corak berterusan penguasaan sekumpulan sistem pendidikan Asia iaitu Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong dalam dua subjek penting itu.

“Malaysia dengan sedih  tertinggal di belakang Korea Selatan di dalam kecemerlangan pendidikan. Di dalam Times Higher Education World University Rankings 2012-2013, empat universiti Korea Selatan termasuk dalam senarai antara 200 Universiti Terbaik sementara enam di dalam 400 Universiti Terbaik Dunia, namun tiada satu pun universiti dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 60 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan mengapa Malaysia begitu jauh ketinggalan di belakang Korea Selatan dalam pelbagai bidang, sedangkan sudah 56 tahun Merdeka.

Beliau berharap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dan persembahan Gangnam Style bintang pop Korea, Psy, di Pulau Pinang esok, Najib perlu membuat kenyataan sama ada Malaysia mampu mengejar Korea Selatan atau sekurang-kurangnya merapatkan jurang yang semakin besar antara dua negara itu.- Roketkini.com