Berita

UMNO bertanggungjawab terhadap nasib Melayu terpinggir di negara sendiri

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Siapa patut bertanggungjawab terhadap nasib Melayu yang terpinggir di negara sendiri selepas 55 tahun merdeka, 42 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan setengah abad penguasaan politik UMNO.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, konsep dan dasar 1Malaysia sepatutnya fokus terhadap semua yang terpinggir dan tertindas di kalangan rakyat Malaysia di negara ini, sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan atau Iban.

Katanya, Biro Tata Negara adalah bukti terbaik sebagai agensi kerajaan utama yang menyemai konsep anti-1Malaysia.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga perlu menjawab soalan penting apabila membelanjakan berjuta ringgit dan mengibarkan 10,000 bendera 1Malaysia dan menjemput Psy membuat persembahan Gangnam Style, di Pulau Pinang.

“Warga Pulau Pinang sepatutnya mempertikaikan tindakan UMNO/BN memasang 10,000 ribu bendera 1Malaysia sepanjang jalan yang dilalui Perdana Menteri dalam lawatan ke Pulau Pinang dari lapangan terbang ke Kolej Han Chiang, yang tidak mengikut peraturan dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan media sempena Pengiraan Detik 59 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, selepas empat tahun Najib sebagai Perdana Menteri, hanya satu daripada 68 Menteri dan Timbalan Menteri yang berani secara terbuka menentang arus perdana UMNO/Barisan Nasional (BN) mengumumkan dirinya rakyat Malaysia dulu dan Melayu kemudian.

Katanya, adakah Menteri UMNO kedua yang berani mencontohi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengisytiharkan dirinya rakyat Malaysia dulu dan Melayu kemudian pada September 2010, seiring dengan dasar 1Malaysia berbeza dengan pengisytiharan terbuka Najib.

“Seingat saya tidak pernah mendengar walaupun sekalipun sejak empat tahun lalu Najib mengatakan beliau rakyat Malaysia dulu dan Melayu kemudian dan di Pulau Pinang Najib berkata beliau tidak akan berjanji sekiranya tidak mampu menunaikannya.

“Sudahkah Najib menunaikan janji 1Malaysianya sepanjang empat tahun ini selain melambak 10,000 bendera 1Malaysia sempena persembahan Gangnam Style?

“Sekiranya Najib tidak menjanjikan perkara yang tidak boleh ditunaikan, mengapa tidak menjelajah ke seluruh negara sepanjang empat tahun untuk mempromosikan dasar 1Malaysia bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang mana setiap rakyat menganggap diri mereka rakyat Malaysia dulu kemudian barulah bangsa, agama, tempat atau latar belakang ekonomi, dan menjadikan dirinya sebagai teladan pemimpin Malaysia yang “Rakyat Malaysia dulu, bangsa kemudian” untuk dicontohi semua rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com