Berita

Keyakinan tinggi BN musnah berkecai dengan tiga laungan “tidak” untuk BN

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Keyakinan tinggi Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan merampas negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) berkecai akibat tiga laungan “ya” untuk Psy dan “tidak” untuk BN pada persembahan jutaan ringgit Gangnam Style Psy dari Korea Selatan di Pulau Pinang, kelmarin.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, video satu minit mengenai laungan itu ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanyakan hadirin di Sekolah Han Chiang sama ada mereka bersedia untuk Psy dan untuk BN itu sudah tersebar luas dan ia lebih hangat berbanding Psy dan Gangnam Style

Katanya, gema laungan tiga kali “Ya” ketika ditanya orang ramai bersedia untuk Psy diikuti gema yang sama kuat dan spontan tiga kali “Tidak” bagi sama ada mereka bersedia untuk BN memusnahkan keyakinan tinggi untuk menang besar pada PRU-13 yang dibina Najib.

“Kejadian itu lebih memusnahkan peluang UMNO/BN pada dalam PRU-13 berbanding Bersih 2.0, Bersih 3.0 atau Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112, lebih-lebih lagi ia adalah kemusnahan yang menimpa dirinya.

“Kejadian itu mencalarkan gambaran indah yang dicipta pemimpin dan propagandis UMNO/BN akan menang besar pada PRU-13, bukan sahaja dengan majoriti dua pertiga di Parlimen malah untuk memenangi semula negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat termasuklah Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 58 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sepatutnya jutaan ringgit dibelanjakan menjadi rampasan kuasa bagi Perdana Menteri dan BN tetapi bertukar menjadi kemusnahan bagi Najib dan BN menjelang PRU-13 tidak lama lagi

Bagaimanapun, katanya, yang luput daripada ingatan ialah jutaan ringgit penaja yang membawa Psy dan rombongannya dalam satu penerbangan terus 20 jam dari Brazil ke Pulau Pinang dengan motif yang juga tidak diketahui, di samping beribu bendera 1Malaysia yang mencemar Pulau Pinang sempena lawatan dua hari Najib ke Pulau Pinang atau tawaran “I help you, You help me” Najib yang terbaru.

“Melihat kembali kelak, apabila sejarah PRU-13 dicatat, kemunculan Psy dan Gangnam Style dengan tiga “Ya” untuk Psy dan tiga “Tidak” untuk BN, akan meninggalkan kesan di dalam sejarah politik Malaysia menandakan bermulanya pengakhiran buat Najib dan penguasaan penuh UMNO di dalam politik Malaysia.

“Walaupun Najib dan UMNO/BN mengalami tamparan dalam pusingan akhir ke PRU-13, pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat hendaklah tidak terlebih yakin dan menganggap perlawanan ke Putrajaya sudah pun dimenangi.

“Saya sentiasa berpandangan bahawa hasil PRU-13 sukar ditentukan siapa pemenangnya walaupun UMNO/BN mempunyai kelebihan kerana penyalahgunaan kuasa, PR masih boleh memenangi PRU-13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan memandangkan tempoh kempen pilihan raya adalah kunci penting dan terakhir menentukan siapa akan menjadi pemenangnya,” katanya. – Roketkini.com