Berita

Mulakan perubahan: Usah biarkan Malaysia terus diperintah pemimpin BN yang korup

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia melakukan perubahan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini selama 56 tahun gagal memajukan ekonomi negara sebaliknya melakukan korup dan memperkayakan kroni.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, Pakatan Rakyat jika diberi mandat berjanji akan mentadbir negara secara telus dan akauntabiliti serta membersih korupsi berleluasa yang dilakukan BN hingga menjejaskan masa depan rakyat.

Katanya, tindakan kerajaan BN dianggap terlalu kaya dan angkuh hingga sanggup membayar jutaan ringgit untuk mengadakan persembahan Psy dan Gangnam Style dari Korea Selatan bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pulau Pinang, dua hari lalu.

“Selama 56 tahun BN memerintah negara, ekonomi Malaysia begitu jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan yang pada awal kemerdekaan ekonominya begitu tercorot dan jauh ketinggalan di belakang.

“Tetapi dengan rakyat Malaysia yang berbakat dan sumber negara yang banyak, sasaran untuk menyaingi kepesatan pembangunan Korea Selatan itu boleh dicapai walaupun terpaksa menempuh jalan panjang,” katanya dalam kenyataan di Facebook DAP, semalam.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, pada 1957, Malaysia tiga kali lebih kaya dan purata pendapatan perkapita AS$287 berbanding Korea Selatan hanya AS$92 pada 1961.

“Korea Selatan tidak bergantung kepada apa-apa sumber, kecuali kepintaran rakyatnya, sedangkan Malaysia kaya dengan pelbagai sumber seperti minyak dan gas dan menyumbang beratus bilion ringgit kepada perbendaharaan negara.

“Setelah 50 tahun, Korea Selatan kini memintas ekonomi Malaysia dengan purata pendapatan perkapita AS$22,424 dua kali ganda berbanding purata pendapatan perkapita AS$9,977,” katanya.

Menurut Pua, Korea secara rasminya memperoleh kemerdekaan daripada Jepun pada 1948. Bagaimanapun, pada awal 1950-an, meletus perang saudara selama tiga tahun yang menyebabkan perpecahan Korea menjadi dua negara iaitu Korea Selatan dan Korea Utara hingga hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia sepatutnya lebih maju daripada Korea Selatan sekarang kerana melalui pengalaman lebih mudah untuk memperoleh kemerdekaan pada 1957.

“Kemajuan ekonomi negara begitu perlahan kerana pemimpin BN menyedut kekayaan negara dan memperkayakan kroni mereka. Justeru, rakyat Malaysia sewajarnya melakukan perubahan bukannya membiarkan pemimpin yang korup itu terus mentadbir negara ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” tambahnya. – Roketkini.com