Berita

“Belanja wang besar tidak menjadikan PM lebih baik” – Gobind

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Era kepimpinan ala Barisan Nasional (BN)-UMNO patut berakhir kerana Malaysia perlukan barisan kepimpinan baru yang berani mendengar dan mendepani segala cabaran serta persoalan yang menjadikan rakyatnya benar-benar yakin terhadap kerajaan yang memerintah.

“Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mendengar suara rakyat, membelanjakan wang dengan besar tidak akan menjadikan beliau Perdana Menteri yang lebih baik,” demikian ujar Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Gobind Singh Deo.

Walaupun kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar dalam mempromosikan konsep 1Malaysia gagasan Perdana Menteri, ia akhirnya menemui kegagalan malah dimalukan dalam konsert Psy di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Agak ganjil Najib menanyakan soalan itu sebanyak tiga kali dan dijawab untuk kali pertama ‘NO’, mungkin beliau cuma melakukan yang terbaik baginya. Tetapi, apakan daya, beliau tidak mendengar suara rakyat.

“Selama ini rakyat mahu jawapan untuk semua persoalan yang timbul tetapi adakah Najib mendengar dan menjawabnya?” soalnya.

Menjelaskan kenyataannya, Ahli Parlimen Puchong itu berkata, antara persoalan yang sehingga kini menjadi keraguan dan tanda-tanya di kalangan rakyat adalah membabitkan hubungan beliau dalam beberapa urusniaga tertentu dan lebih parah lagi apabila ia membabitkan kematian seorang model Mongolia, Altantuya Sharibuu.

“Najib berulang kali menegaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia tetapi gagal membuktikannya.

“Apabila timbul persoalan seperti isu kalimah Allah dan ancaman membakar Bible, beliau gagal menanganinya dengan baik,” ujar beliau.

Malah apa yang mengecewakan, jelas Gobind ialah kegagalan Najib bertindak terhadap individu tertentu yang terang-terang melanggar undang-undang dengan penghinaan terhadap agama dan kaum.

“Tiada sebarang tindakan diambil. Kemudian, apabila Tun Mahathir bersuara dan seolah-olah menyokong perbuatan ‘hina’ itu, Najib terus berdiam,” katanya yang juga seorang peguam.

Paling menyedihkan tambah beliau, orang yang memainkan api perkauman dan agama ini sanggup merayu kepada rakyat agar memberi majoriti dua pertiga kepada Perdana Menteri (BN) supaya undang-undang boleh diubah dan mereka yang menentang boleh digugur kerakyatan.

“Najib telah gagal untuk mendengar. Beliau gagal untuk menghidupkan slogan 1Malaysia yang diwar-warkannya,” katanya.

Najib juga gagal memahami keperluan rakyat Malaysia yang semakin matang dalam politik di mana selain reformasi ekonomi, Malaysia perlukan sebuah masyarakat yang lebih kukuh dengan nilai moral dan tata sosial yang tinggi.

“BN boleh mengabaikan suara rakyat, tetapi mereka perlu ingat bahawa apabila mereka mengabaikan suara rakyat, jangan terkejut jika rakyat sendiri menghukum mereka pada akhirnya,” ujar Gobind.-Roketkini.com