Budaya

Sosialisme itu cinta Oleh Izmil Amri

Musim bercinta sudah kembali. Kebetulan bersekalian dengan musim ‘raya cina’ dan musim cuti yang panjang. Ramai yang memilih untuk berpergian mengambil angin bersama orang tersayang atau dibawa pulang kekasih hati itu untuk sama-sama beraya di desa, barangkali untuk dinyatakan hajat berkongsi hidup bersama kepada orang tua.

Tidak kira keturunan atau agama, musim mengawan tetap musim mengawan dan tidak ada daulah yang dapat menahan-nahan kehendak manusia untuk mengawan. Musimnya sudah tiba, dan semua orang sedang giat mahu berkembang biak atau sekurang-kurangnya berjinak-jinak ke arah itu.

Dan sebagaimana tahun lalu, perayaan cinta yang dihalang agama disambut lagi seperti biasa tanpa sebarang peduli terhadap nasihat cerdik pandai. Mana ada cinta yang bisa terhalang selagimana hati berkehendak. Sesuai sifatnya cinta itu sebagai aksi melawan; paling mudah dilihat dalam babak-babak kisah Romeo dan Juliet, tidak boleh ditahan atau dihalang.

Lagi dihalang, lagi lah membuak-buak semangat melawan. Jadi cinta dan perlawanan ini tidak dapat dipisahkan, kerana keduanya lahir dari asas yang serupa.

Asas yang serupa ini saya namakan sebagai asas kemanusiaan. Daripada asas ini juga lahir suatu faham yang dinamakan sosialisme.

Sosialisme dan cinta

Max Romeo atau nama sebenarnya Maxwell Livingston Smith adalah seorang penyanyi reggae. Beliau ada merakamkan sebuah lagu berjudul ‘Socialism is Love’ (Sosialisme itu Cinta!) sebagai sebuah lagu ‘single’ pada tahun 1974.

Ini tiga tahun sesudah menerbitkan album keduanya yang berjudul ‘Let the Power Fall’ pada tahun 1971 yang memuatkan lagu-lagu yang politikal, mendukung perjuangan sebuah parti politik sosialisme demokratik, People’s National Party.

Lagu Socialism is Love secara mudah menjawab persoalan umum tentang maksud sosialisme; apa bendanya sosialisme dan apa ertinya perkataan itu.

Max Romeo, bukan mat romeo menjawab persoalan ini dengan menyatakan bahawa sosialisme adalah hak sama rata untuk setiap manusia, tanpa mengira kemampuannya; serta tiada manusia yang lebih berhak dari yang lain dan bahawasanya sosialisme itu ialah rasa kasih sayang antara manusia dengan manusia.

Beliau menambah lagi bahawa sosialisme itu ialah rasa kasih sayang sesama saudara, mempertautkan hati dan akal fikir demi memerangai kemiskinan dan kemelaratan. Sosialisme ialah perkongsian dengan saudara yang lain, mempereratkan hubungan dan rasa kebersamaan, itulah erti sosialisme; iaitu cinta dan setiakawan.

Kritik Max terhadap kaum pemodal ialah ia menyifatkan kelas ini sebagai golongan yang takut kehilangan dan kerugian. Maka mereka ini tiada mahu peduli dengan kesengsaraan, kerana baginya jika peduli itu harus mengeluarkan modal untuk melawan dan pastinya akan mengurangkan untungnya.

Kelompok pemodal ini bagi Max Romeo diungkapkan dalam syairnya, ‘One man have too many, while too many have too little’. Seorang manusia punya milikan terlalu banyak; sedangkan ramai lagi yang kurang harta punya dan tidak berada. Sosialisme, katanya tidak redha dengan keadaan sedemikian.

Keadaan ini pastinya menyentuh hati nurani beliau, yang sejak usianya 14 tahun telah meninggalkan kampung halaman untuk membanting tulang di ladang tebu. Hanya empat tahun kemudian beliau bernasib baik dan menang dalam sebuah pertandingan mencari bakat, dan akhirnya berhijrah langsung ke ibu negara Jamaica untuk memulakan kerjaya dalam bidang muzik.

Kebijakan yang manusiawi

Adalah dangkal bagi mana-mana manusia untuk menyatakan bahawa sosialisme itu adalah sebuah faham yang menolak kewujudan Tuhan. Tambah dangkal lagi adalah mereka yang menyatakan sosialisme itu sebagai aktiviti bersosial, yakni bercampur gaul antara lelaki dan perempuan tanpa batas.

Yang berfikiran demikian seharusnya dihantuk kepalanya ke dinding.

Sosialisme, seperti syair Max ialah dasar-dasar yang peduli dan manusiawi. Kebijakan sosialisme ialah kebijakan yang benar-benar mendahulukan rakyat dan memikirkan kemaslahatan insan. Contoh yang paling dekat pastilah cuti hujung minggu, waktu kerja 8 jam sehari serta caruman KWSP. Tidak lama lagi pula, gaji minima. Hah, terkejut?

Tanpa kekuatan golongan buruh dan tuntutan-tuntutan kesatuan sekerja, kita semua hari ini barangkali akan terus bekerja pada hari Sabtu dan Ahad, bekerja berbelas jam tanpa bayaran overtime serta tiada simpanan hari tua. Itu belum diambil kira cuti bersalin, bonus, waktu kerja fleksibel serta perkhidmatan kesihatan percuma. Adakah anda rasa itu semuanya datang atas ihsan kaum pemodal?

Kebijakan yang manusiawi ialah polisi-polisi yang menjaga kepentingan pekerja sebagai manusia dan tidak meletakkan tarafnya seperti hamba abdi. Polisi yang sama juga hari ini dinikmati melalui program merakyatkan ekonomi seperti yang dibuat di Selangor, negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Air percuma Selangor ialah manifestasi kebijakan manusiawi yang menjadikan hak air sebagai hak asasi rakyat dan bukan komoditi yang boleh dijual beli sesuka hati oleh kapitalis kroni yang membayar ufti kepada pemerintah korup. Polisi sebegini ialah polisi yang berasaskan rasa kasih sesama manusia.

Hanya makhluk yang tidak punya rasa kemanusiaan yang akan menjadikan keperluan utama seperti air sebagai bahan untuk mengugut sokongan rakyat kepadanya, sambil pada masa yang sama memperkayakan kroni dengan menaikkan tarif air secara berkala. Makhluk seperti ini adalah makhluk yang seperti syaitan bertopeng insan. Mereka ini lah syaitan-syaitan dikenali, yang saban hari menyeluk poket kita untuk disuap labanya buat mengisi tembolok sendiri.

Perjuangan demi cinta

DAP kini berfaham demokrasi sosial. Masih lagi pro-manusia dan pantang dengan ketidakadilan. Jadi adalah fitrah bagi DAP untuk melawan ketidakadilan dan kezaliman yang menjadi tonggak pemerintahan rejim hari ini, meski jahat dan zalimnya itu begitu halus dan licik.

Seperti juga mana-mana perlawanan menentang kezaliman, perjuangan menentang rejim pimpinan United Malays National Organisation ialah perjuangan yang berasaskan rasa cinta dan kasih sayang.

Ya betul, mulanya memanglah meluap-luap rasa benci kepada UMNO itu. Mana tidaknya selepas puluhan tahun hasil negara dirompak dan ditarahnya, kemudian sekarang terhegeh-hegeh mahu beri bantuan tunai kepada rakyat. Yang faham tentang jahat UMNO ini pastinya akan rasa benci dan marah.

Tetapi harus ingat, sebenarnya apa yang kita marah sangat ni? Kita marah kerana UMNO zalim kepada rakyat dan negara. Kenapa kita marah? Pastilah kerana kita sayang dan cinta kepada rakyat dan negara. Nah, siapa kata kita tidak patriotik?

Selamat hari kekasih. Kasihi negara, sayangi saudara. Marilah sama-sama melawan UMNO dan Barisan Nasional. – Roketkini.com