Rencana

Menjawab mitos pilihanraya kerajaan tempatan Oleh Mazir Ibrahim

APABILA kita menyebut mahu kembali mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan yakni pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti dewan bandaraya, majlis perbandaran atau majlis daerah, pastinya akan mengundang pandangan sinis beberapa pihak. Lebih khusus, pihak itu adalah pihak yang anti-demokrasi.

Agenda yang sihat ini gagal dilihat dengan ‘sihat’ sebaliknya pandangan untuk – tidak mahu melaksanakannya – itu berasaskan lojik yang tidak munasabah atau tidak releven.
Pihak yang ekstrem lagi jahil (tidak faham politik) akan kata “benda kecil ini pun nak buat pilihan raya, nak dipolitikkan”.

Bagi pihak yang anti-demokrasi seperti Tun M akan kata “proses ini akan menelan belanja yang besar, membazir dan buang masa”.

Bagi pihak yang assabiyah pula akan berkata “ini punca Melayu hilang kuasa sebab yang akan menang dan pegang jawatan Datuk Bandar mesti orang yang bukan Melayu”.

Inilah stigma yang kita sendiri tampalkan ke atas agenda ini dan selepas itu kita melihat ianya dengan jijik dan seterusnya isu ini tak perlu diberi perhatian dan dorongan. Maka, sampai di sinilah sajalah ruang demokrasi kita, kita sendiri yang menetap dan menjumudkan dimensi politik dan demokrasi itu.

Di hujung proses ini, apa saja yang dilihat sebagai idea pendemokrasian, maka ia akan dianggap sebagai perkara buruk. Malang sungguh nasib bangsa kita ini.

Hakikatnya, semua lojik daripada pandangan dangkal itu boleh dikupas dan dijawab dengan lojik juga.

Jawapan bagi yang ekstrem dalam kejahilan amat mudah iaitu tiada benda yang lebih penting daripada mengurus hal yang sebesar-besarnya hinggalah yang sekecil-kecilnya. Bagi mereka yang mewarisi sifat pemalas (malas bekerja dan berfikir), maka mereka itu akan terus tinggal dalam kegelapan, manusia ini hanya menerima qadha dan qadar tanpa berusaha apa-apa.

Sebagai contoh, hal kumbahan, atau dengan kata yang lebih enak, isu najis yang kita berak hari-hari adalah urusan kita untuk tentukan ke manakah tahi yang kita berak itu akan ditempatkan dan diproses bagi memastikan tahi kita itu tidak mencemar alam, desa tempat kita tinggal dan kesihatan diri kita.

Jika hal ini diserahkan bulat-bulat pada ‘kerajaan pusat’, maka janganlah kita mengeluh jika suatu masa kelak, nak berak pun kena beli touch n go. Tak ada touch n go, kenalah simpan tahi sendiri hingga keras atau beraklah merata-rata seperti haiwan.

Maka kerana itu, hal sekecil-kecilnya mestilah diurus oleh kita sendiri, bukan orang lain.
Jawapan bagi pemikiran seperti Tun M yang anti-demokrasi, jawapannya lagi mudah.

Dengan kos ‘membazir’ membuat pilihan raya kerajaan tempatan inilah cara yang paling betul menggunakan wang rakyat untuk kepentingan rakyat, bukan seperti ‘demokrasi terpimpin ala-Tun M’ yang guna duit rakyat itu bail-out perniagaan kroni dan ahli keluarganya.

Dengan kos pilihan raya ‘membazir’ inilah maka rakyat dapat melihat ke mana wang hasil cukainya, dengan cara ini juga rakyat boleh menyoal dan menilai sejauh mana pengurus PBT yang diundi dapat memberi khidmat terbaik kepada kelompok masyarakatnya.

Bukan melihat dan terlopong apabila PBT mengutip cukai dan menyerahnya kepada kerajaan pusat untuk membangunkan kawasan lain yang tiada kena-mengena dengan keperluan pihak yang membayar cukai itu.

Untuk jawapan kepada pandangan assabiyah pula, ia teramatlah mudah hingga kita terasa hina nak menjawabnya.

Jika kita rajinkan diri membaca dan menyelidik sedikit rekod dan laporan PBT seluruh negara. Pasti kita akan dapat lihat bahawa kawasan PBT seluruh Malaysia adalah majoritinya kawasan Melayu, atau miskin luar bandar.

Dewan bandaraya (Bandar besar) 12 daerah itu jumlah keseluruhannya tak sampai lima belas peratus pun daripada jumlah majlis daerah (luar bandar) 99 daerah. Malah majlis perbandaran berjumlah 38 daerah juga bukan semuanya Cina atau India, sebaliknya Majlis perbandaran adalah kawasan campuran, Melayu Cina dan India.

Jadi dari lubang mana pula yang mengatakan orang bukan Melayu akan menguasai jawatan Datuk Bandar atau Yang Dipertua (YDP)?

Inilah masalahnya jika kita masih mengukur hidup ini dengan bangsa, ras atau warna kulit. Yang rasional tidak akan kita nampak, sebaliknya hanya buruk dan ketakutan sahaja yang kita tahu. Ini menunjukkan bahawa bangsa yang masih berfikiran seperti ini adalah bangsa yang gagal.

Ketahuilah bahawa alasan dan lojik untuk tidak mengadakan pilihan raya kerajaan
tempatan adalah propaganda UMNO.

Jangan lupa, UMNO yang menghentikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan. Maka di sini soalnya mengapa?

Kerana kerajaan tempatan (PBT) merupakan satu kerajaan yang sangat berkuasa ke atas tanah, air termasuk sistem pengurusan sampah dan kumbahan di sesuatu kawasan PBT.

Menerusi pemusatan kuasa, kerajaan pusat menerusi kerajaan negeri akan mempunyai kuasa untuk melantik dan menggunakan sepenuhnya sesuatu aset di kawasan itu untuk memenuhi keperluan daulah. Daulah dalam kes ini adalah kerajaan pusat dan kerajaan negeri sejak berdekad ini adalah kerajaan dari regim UMNO/BN.

Dengan kontrak dan tender mengutip sampah, proses menyelia sisa kumbahan, kontrak sistem perparitan, pembukaan tanah baru, bandar baru, cukai pintu, cukai tanah akan mudah disalur kepada kerajaan pusat menerusi pelbagai undang-undang yang dikenakan ke atas PBT dan kerajaan negeri. Segala undang-undang ini konsepnya adalah sama dengan merampas hak negeri dan PBT.

Budaya perniagaan UMNO yang menerusi kroni akan bermaharajalela dalam konsep ini. Maka kerana itu, kerajaan UMNO/BN hingga kini mahu terus menghalang agenda ini daripada dilaksanakan.

Konsep disentralisasi amat penting untuk difahami agar kita tidak dibohongi regim UMNO. Malah, isu seperti kes air yang membabitkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) juga ada kaitan dengan konsep disentralisasi ini.

Air adalah sumber semulajadi, setiap negeri mempunyai sungai, tasik, kawasan tadahan hujan dan sistem pemprosesan air. UMNO melihat hal ini sebagai lubuk wang, maka ia diswastakan atas nama ‘rakyat’ tetapi pada hakikatnya hak rakyat dan negeri telah dirampas dengan begitu halus untuk memastikan sumber ‘wang’ ini dapat diagih kepada kroninya.

Justeru, idea pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan amatlah penting, bukan saja bagi memastikan  hak rakyat dan negeri dihormati, malah ia boleh menjadi satu mekanisme membanteras rasuah yang sedang berleluasa ketika ini.

Ini adalah idea cabang daripada cadangan yang terdapat dalam Buku Jingga iaitu ‘PR akan memastikan hak kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak dihormati’. Jika kita rajin berfikir dan meneliti, pasti kita akan mengenal yang mana kaca dan yang mana permata.

Sumber PBT : http://www2.epbt.gov.my/portal/?rid=senaraipbt