Berita

Barisan Nasional gelabah, halau senator Australia

KUALA LUMPUR, 16 FEB – Senator Nick Xenophon, ahli politik terkemuka Australia ditahan bawah kawalan bersenjata pihak polis di lapangan terbang LCCT kerana didakwa menjadi ‘musuh negara’ dan sedang menanti untuk dihantar pulang ke negara asal.

Laporan media Australia, Herald Sun menyebut, beliau ditahan disebabkan beberapa pertemuan yang dijadualkan dengan ahli-ahli politik pro-demokrasi di Kuala Lumpur.

Beliau yang sempat menelefon media Australia ketika dibiarkan sendirian dilaporkan berkata bahawa beliau ditahan dalam bilik soal siasat setibanya di sini pagi tadi.

“Saya tahanan di sini,” kata Xenophon. “Saya ditahan di suatu kawasan yang dipenuhi tahanan wanita. Mereka telah memberitahu bahawa saya adalah musuh negara. Mereka sedang mencuba untuk menghantar saya pulang dengan penerbangan seterusnya,” katanya.

Xenophon sudah beberapa kali mengunjungi Malaysia tanpa sebarang masalah, termasuk tahun lalu apabila beliau turut hadir ke perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 sebagai pemerhati dan turut terkena gas pemedih mata.

Malaysiakini memetik ABC News 24 Australia yang melaporkan Xenophon sebagai berkata bahawa beliau tidak menjangka akan ditahan semasa ketibaannya di Kuala Lumpur.

Katanya, pegawai imigresen memberitahunya bahawa mereka menerima “arahan dari atas” untuk menahannya.

“Saya mendapatinya luar biasa. Saya pernah ke sini sebelum ini [dan] Saya telah membuat kenyataan mengenai keadaan demokrasi di Malaysia sebelum ini.

“Tetapi pada kali ini jelas seseorang yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia tidak mahu saya di sini,” katanya.

Tahun lalu, akhbar kawalan BN, New Straits Times (NST) telah menyiarkan berita palsu dengan memfitnah Xenophon kononnya beliau telah menyifatkan Islam sebagai “pertubuhan jenayah” sewaktu berucap di Parlimen Australia pada 2009. – Roketkini.com