Berita

Najib perlu jelas punca tinggal pentas pesta Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan punca sebenar beliau meninggalkan pentas Pesta Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang baru-baru ini sama ada kerana bimbangkan keselamatannya atau nyawa artis terkemuka Korea Selatan, Psy.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini bukan jenaka atau gurauan kerana orang Pulau Pinang dan rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran kejadian itu.

Dalam kejadian itu, Najib, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menteri Kabinet meninggalkan pentas pesta Tahun Baru Cina Isnin lalu selepas menunggu hampa selama lima minit kemunculan Psy menyertai upacara “menggaul yee sang”.

Katanya, pada mulanya, Ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong menyalahkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen sebagai punca kemelut yee sang, menyebabkan tercemar maruah negara apabila Najib, Pak Lah dan menteri Kabinet dimalukan di hadapan umum.

“Oh memberitahu akhbar, sebagaimana yang dilaporkan wartawan Malaysiakini, Lee Way Loon dan Low Chia Ming dalam “No Psy, BN left red-faced during yee sang toss” bahawa “seorang menteri” memberitahu pengacara secara mengejut untuk menjemput Psy menggaul yee sang, tanpa memaklumkan jawatankuasa penganjur terlebih dahulu.

“Versi asal kemelut yee sang ini bercanggah dan ditolak Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang muncul dengan versi baru, membakulsampahkan dakwaan bahawa Ng Yen Yen memberi arahan secara mengejut kepada pengacara menyebabkan berlakunya kucar-kacir dengan mendakwa Najib terpaksa turun pentas kerana terdapat cubaan mengancam nyawa Psy,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 55 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Teng pergi lebih jauh dengan mendakwa terdapat juga cubaan mengancam nyawa Najib.

Katanya, ini benar-benar tindakan sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terhadap isu keselamatan Perdana Menteri dan VVIP, termasuk bintang Korea Selatan itu.

“Sekiranya kedua-dua dakwaan itu benar, mengapa ia dikeluarkan setelah empat hari selepas acara itu, ketika pemimpin BN terdesak cuba menutup kemusnahan perhubungan awam dan politik kemunculan RM3.5 juta Psy dan Gangnam Style pada program sambutan Tahun Baru Cina Pulau Pinang itu.

“Pemimpin BN tidak sepatutnya memandang rendah kebijaksanaan rakyat Malaysia, seperti yang digambarkan pada reaksi di Malaysiakini.

Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengatakan pihak polis sudah mengenakan langkah keselamatan yang ketat ketika Psy tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Isnin lalu.

Kit Siang berkata, satu siasatan awam perlu diadakan bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku ketika upacara “menggaul yee sang”, sehingga Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet terpaksa melalui detik memalukan dan penghinaan kerana perlu menunggu dengan hampa bintang Korea itu menyertai upacara menggaul yee sang itu. – Roketkini.com