Berita

UMNO terdesak, cetak kain rentang ajak PAS bersatu.

KUALA LUMPUR, 16 FEB – Menyangkakan taktik zaman purba masih boleh digunapakai, United Malays National Organisation atau UMNO nampaknya sedang giat berusaha untuk terus memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Terbaru, cubaan untuk memujuk PAS supaya berpadu dengan UMNO, walaupun menyedari bahawa pimpinan UMNO yang bergelumang dengan salahguna kuasa dan rasuah, dihasilkan dalam bentuk kain rentang.

Sumber-sumber melaporkan bahawa kain-kain rentang dengan pelbagai rekabentuk namun membawa mesej berbunyi ‘Bersatulah, Perpecahan melemahkan ummah’ dan ‘Bersatu itu indah’ sedang giat dicetak dalam kuantiti lebih 10 ribu setiap satu.

Juga terdapat mesej seperti ‘Satu kalimah, satu syahadah’ dengan logo UMNO dan PAS di kanan dan kiri, membuktikan betapa terdesaknya UMNO sehingga sanggup mempermainkan agama sebagai modal utama kempen politik menjelang PRU ke-13 yang bakal menjelang tiba.

Menurut sumber yang tidak mahu didedahkan, kain-kain rentang tersebut sedang dicetak secara besar-besaran di beberapa kilang di sekitar Selangor.

Pemerhatian umum mendapati kain-kain rentang bertujuan memujuk perpaduan PAS dan UMNO itu telah dinaikkan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang seperti Petaling Jaya dan Bangsar. – Roketkini.com