Berita

DAP Johor terus setia bersama Pakatan Rakyat

JOHOR BAHRU, 22 FEB: DAP Johor akan terus kekal dengan Pakatan Rakyat (PR) negeri itu sekaligus menolak segala spekulasi perpecahan PR Johor yang dipropagandakan media arus kawalan Barisan Nasional.

Menegaskan kenyataannya, Pengerusi DAP Negeri Johor, Dr. Boo Cheng Hau berkata, DAP negeri akan terus memberikan sokongan padu, kerjasama sepenuhnya dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada PKR dan PAS negeri itu demi memastikan agenda perubahan berjaya dibawa ke Johor.

“Saya berharap kita akan berhadapan dengan pilihanraya umum akan datang ini dengan penuh keazaman dan solidariti untuk mendapatkan sokongan padu rakyat Johor,” katanya dalam satu sidang media bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, di sini semalam.

Kenyataan Dr Boo dibuat untuk menjelaskan tohmahan BN berikutan tindakannya mempersoalkan kewibawaan Pengerusi PKR Johor Chua Jui Meng yang dikatakan menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan dalam PR dan para penyokong.

“Niat saya adalah sekadar untuk mengingatkan kita semua agar tidak leka dengan sokongan yang semakin meningkat dikalangan rakyat Johor kepada PR. Kita tidak boleh mengambil mudah sokongan rakyat disini kerana tidak ada kerusi yang selamat di Johor.

“Saya menerima segala kritikan dengan hati yang terbuka dan mehu agar perpaduan dikalangan PR negeri ini terus utuh,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai.

Beliau berharap agar perkara ini tidak lagi dimanipulasi dan semua pihak dapat memberi tumpuan kepada pilihanraya umum yang akan datang.

“Jika wujud sebarang konflik sekalipun, kita mempunyai saluran dalaman untuk diselesaikan. Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa pimpinan PR pusat akan dapat menyelesaikan sebarang masalah dalaman yang timbul,” katanya.

Sebelum ini, Lim Guan Eng, telah meminta Dr Boo dan Chua supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama kedua-dua parti di negeri berkenaan.
Setiausaha Agung DAP itu telah pun berbincang dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bersetuju supaya Chua dan Dr Boo tidak membuat kenyataan terutama mengenai pembahagian kerusi antara DAP dan PKR di negeri itu.

Kedua-dua pemimpin PKR dan DAP Johor tersebut diminta berunding terlebih dahulu dengan pucuk pimpinan parti masing-masing sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai pembahagian kerusi untuk PRU ke-13 nanti. – Roketkini.com