Berita

PR komited laksana model baru politik, ekonomi Malaysia – Guan Eng

SHAH ALAM, 25 FEB: Pakatan Rakyat (PR) berikrar memulakan model politik baru dalam memperkukuhkan kebudayaan masyarakat dan meningkatkan prestasi ekonomi sehingga ke tahap tertinggi dan terbaik.

Ia antara lain menolak model politik lama yang menjadi budaya UMNO/Barisan Nasional (BN) melalui amalan politik fitnah dan pembohongan, rasuah, politik perkauman dan penindasan di mana ia memporak-perandakan institusi awam dan sektor masyarakat dengan kebencian.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata dengan pelancaran Manifesto Rakyat, PR komited untuk membentuk Malaysia baru yang berjaya dengan berpegang kepada prinsip bersih dan berintegriti.

“Rakyat mahu menilai pemimpin mereka atas hujah dan dasar namun jelas Perdana Menteri sendiri hanya berupaya bermain politik perkauman dan agama,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-14, di Shah Alam, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, semalam, Datuk Seri Najib Razak menuduh dan memfitnah bahawa DAP menindas agama Islam yang dianggap berbahaya dan tanpa bukti, sedangkan saya pernah menang tindakan saman ke atas Utusan Malaysia di mahkamah atas tuduhan saya anti-Melayu dan anti-Islam,” jelasnya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri PR juga berjaya membawa pembaharuan berasaskan 3P iaitu melalui Prinsip, Polisi dan Prestasi.

“3P bukan sekadar janji. Ia telah dibuktikan. Contohnya di Pulau Pinang kita berjaya memerangi rasuah dan amalan kronisme dengan pelaksanaan tender terbuka. Dari sudut kebajikan, sebelum BR1M diperkenalkan, kita memberi perhatian kepada hakikat 60 peratus golongan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

“Dasar PR tidak hanya berkisar kepada bantuan kewangan semata-mata, kami bercadang menamatkan kebergantungan kepada pekerja asing, menggalakkan automasi, peningkatan teknologi dan inovasi supaya masa depan ekonomi kita bukan pada tenaga buruh tetapi kepada tenaga ‘otak’,” tambahnya.

Merujuk kepada prestasi yang dicapai kerajaan PR, Guan Eng membandingkan perbezaan ketara sejak mentadbir negeri Pulau pinang selepas mengambil alih daripada BN.

“Di Pulau Pinang kami berjaya mengurangkan hutang negeri sebanyak 95 peratus daripada RM630 juta pada 2008 dan kini hanya berbaki RM30 juta. Ia amat berbeza dengan kerajaan BN yang menggandakan hutang mereka.
“PR beri wang pada rakyat bila ada untung, BN bagi wang juga, walaupun negara sudah defisit 15 tahun,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Menurut beliau, pada 2007 hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM267 bilion dan kini sudah melebihi RM500 bilion. Jumlah menakutkan itu tidak lagi dijumlahkan dengan liabiliti kontinjen, iaitu pinjaman yang dijamin kerajaan Persekutuan.

Mengulangi komitmen PR, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kerajaan PR akan memastikan keadilan sosial dalam dasar ekonomi negara.

“Tidak akan ada rakyat Malaysia kelas kedua atau ketiga di Malaysia. Semuanya akan menjadi rakyat Malaysia kelas pertama.

“Setiap rakyat Malaysia akan diberi peluang untuk berjaya dan tidak ada yang akan dinafikan hak atau peluang kerjaya dan ekonomi mereka hanya disebabkan politik dan warna kulit,” tegas beliau.

Manifesto Rakyat bertema Pakatan Harapan Rakyat ini adalah sebuah manifesto ringkas tetapi padat dengan tawaran terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia di samping memperkukuh ekonomi dan kebajikan rakyat secara holistik.-Roketkini.com