Berita

Ridhuan Tee wajar didakwah

SHAH ALAM, 27 FEB: Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya, Uthaya Sankar SB kesal dan kecewa dengan tulisan Ridhuan Tee Abdullah (Tee Chuan Seng) bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 18 Februari lalu.

Sehubungan itu, Uthaya yang juga penulis yang menhasilkan karya Bahasa Melayu sejak 1992 mendesak Ridhuan Tee memohon maaf secara rasmi kerana kepada kaum India beragama Hindu kerana tulisan itu bersifat perkauman.

Katanya, sehingga kini Ridhuan Tee belum mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kandungan tulisan itu walaupun mendakwa sudah diedit.

“Pada 22 Februari lalu, Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dilaporkan memohon maaf kepada kaum India beragama Hindu atas penyiaran rencana tulisan Ridhuan Tee itu dan mengaku bahawa versi yang disiarkan itu sebenarnya sudah disunting untuk mengurangkan nada perkauman.

“Oleh itu saya berharap Sinar Harian akan mengekalkan integritinya sebagai sebuah akhbar yang disenangi pembaca pelbagai kaum, agama dan fahaman politik.

“Saya tidak berhasrat meminta akhbar Sinar Harian atau mana-mana penerbitan serta organisasi lain mengambil tindakan “menghukum” Rihhuan Tee untuk memulaukannya,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Uthaya sebaliknya berkata, tindakan itu sepatutnya menjadi suatu “pengajaran” kepada pihak terbabit supaya berhati-hati dengan golongan “ultra kiasu” (mengulangi istilah asalnya yang digunakan Ridhuan Tee terhadap kaum India dan Cina dalam tulisannya yang menggugatkan keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Katanya, memandangkan bukan hanya golongan politikus yang berhak, beliau juga ingin menyeru kepada umat Islam supaya berdakwah kepada golongan “ultra kiasu” seperti itu sebelum keadaan bertambah buruk.

“Sepertimana dijelaskan Dr Kamariah Kamarudin dalam buku kajian ilmiah berjudul Takmilah dalam Novel Melayu (DBP: 2011), dakwah sebenar dalam Islam bermula dengan dakwah terhadap ahli keluarga, orang Islam (dalam masyarakat) dan masyarakat luar (beragama Islam); sebelum memikirkan soal dakwah terhadap orang “Bukan Islam”.

“Islam sesungguhnya agama yang indah dan menyeru ke arah perpaduan, keamanan dan sikap bertolak ansur. Malah, Tuhan mencipta manusia berbeza-beza untuk saling mengenali dan memahami. Hakikat ini diakui semua agama,” ujarnya.

Menurutnya, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Peserta pelbagai kaum dan agama mengunjungi rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong, gereja, wat dan gurdwara untuk meningkatkan persefahaman dan sikap tolak ansur.

Beliau berkata, Konvoi Rumah Ibadat di Seremban pada 17 Februari lalu menyaksikan penyertaan lebih 50 individu, kebanyakannya peserta beragama Islam yang terbabit secara langsung dalam gerakan dakwah.

“Wakil dari Hidayah Centre Negeri Sembilan dan Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan menunjukkan minat untuk memahami amalan dan budaya penganut agama Hindu, Kristian, Tao dan Sikh – selain Islam – ketika mengunjungi rumah ibadat berkenaan.

“Secara langsung dan tidak langsung, mereka melakukan dakwah positif seperti disarankan Allah dan Rasulullah iaitu memberi citra sebenar ajaran Islam kepada masyarakat.

“Malangnya, pada keesokan harinya (18 Februari 2013), Ridhuan Tee pula melakukan tindakan “anti-dakwah” yang memberi gambaran amat negatif terhadap umat Islam, seolah-olah beliau ghairah mengangkat dirinya sebagai pejuang agenda Melayu dan Islam dan terlupa akan ajaran sebenar Islam,” katanya.

Uthaya berkata, satu-satunya pemimpin Islam yang paling beliau kagumi ialah Nabi Muhammad s.a.w. Tentulah keterlaluan untuk beliau mengharapkan Ridhuan Tee memiliki segala keperibadian mulia dan sikap toleransi seperti ditunjukkan Rasulullah.

Bagaimanapun, katanya, sekurang-kurangnya, harapan beliau agar penulis itu tidak menjejaskan nama baik umat Islam di Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan yang kononnya mewakili orang Melayu dan umat Islam, apatah lagi apabila kenyataan itu berbaur sikap “ultra kiasu” dan berciri “anti-dakwah”.

Beliau berharap dengan permohonan maaf sebenarnya tidak hanya kepada “kaum India beragama Hindu” seperti dilakukan wakil Sinar Harian; sebaliknya kepada umat Islam Ridhuan Tee memberi gambaran yang amat negatif (dan tidak benar) mengenai sikap umat Islam.

Uthaya berpendapat menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam juga untuk berdakwah kepada Ridhuan Tee untuk mengajarnya cara yang betul untuk berdakwah kepada masyarakat luar. – Roketkini.com